AM

Melaka Mohon Pembinaan Tiga Balai Bomba Baharu - Ab Rauf

29/06/2026 06:22 PM

MELAKA, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka akan memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk meluluskan tiga pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu membabitkan kawasan Selandar, Simpang Ampat serta Kuala Linggi bagi memperkukuh tahap keselamatan dan mempercepat masa tindak balas kecemasan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pembinaan BBP terutama di Kuala Linggi amat perlu memandangkan kawasan itu terletak di bahagian paling utara Melaka, dengan balai sedia ada yang terdekat ialah BBP Masjid Tanah dan Port Dickson.

"Tempoh masa tindak balas untuk sampai ke kawasan itu boleh mengambil masa antara 20 hingga 30 minit, sebab itu kita memohon supaya pembinaan BBP di Kuala Linggi diberi perhatian bagi memastikan penduduk mendapat jaminan keselamatan lebih baik.

"Selain itu, kewujudan BBP di Kuala Linggi juga penting bagi menyokong pembangunan kawasan berkenaan yang menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi selain memberi keyakinan kepada penduduk terhadap aspek keselamatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan BBP Cheng di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.

Ab Rauf berkata BBP Cheng yang dibina dengan kos RM4.4 juta adalah balai bomba ke-11 di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut melantik wakil JBPM sebagai Ahli Majlis di keempat-empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka sejak tahun lepas bagi membolehkan jabatan itu terlibat lebih awal dalam proses pembangunan.

Beliau berkata langkah berkenaan membolehkan JBPM memberi pandangan dan nasihat berkaitan aspek keselamatan kebakaran sejak peringkat awal penyediaan pelan pembangunan sekali gus membantu mempercepat proses kelulusan projek.

"Melaka menjadi negeri pertama melaksanakan pendekatan ini dengan melantik wakil JBPM sebagai Ahli Majlis di semua PBT," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574487