POLITIK

Perkasa Lepasan SPM, Naik Taraf Klinik Kesihatan Fokus Calon PH DUN Kempas

29/06/2026 05:05 PM

JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) – Memperkasakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta menaik taraf klinik kesihatan, merupakan antara fokus calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas Muhammad Faezuddin Mohd Puad.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berusia 35 tahun itu berkata masa hadapan golongan berkenaan harus diberi perhatian, khususnya mereka yang tidak mendapat keputusan cemerlang serta daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Tekad saya adalah untuk membantu mereka mendapatkan latihan-latihan tertentu seperti TVET, yang akhirnya boleh mengubah kehidupan mereka apabila mereka dapat pekerjaan, ataupun membuka perniagaan sendiri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menyantuni penduduk di sekitar Taman Damansara Aliff, di sini hari ini.

Muhammad Faezuddin berkata usaha menaik taraf Klinik Kesihatan Kempas turut menjadi agendanya, sekali gus merancang untuk mengemukakan cadangan pembinaan sebuah klinik kesihatan yang baharu, untuk mengatasi kesesakan pesakit sekiranya diberikan mandat pada PRN Johor ini.

Beliau berkata kemudahan kesihatan yang lebih luas dan selesa amat diperlukan, khususnya bagi memenuhi keperluan warga emas yang terpaksa menunggu tempoh yang lama untuk mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Muhammad Faezuddin berkata maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen, menunjukkan penduduk mahukan wakil rakyat yang mudah didekati tanpa protokol.

“Antara luahan yang diberikan (rakyat), susah hendak jumpa wakil rakyat. Tetapi, kalau kita diberikan mandat dan peluang, insya-Allah kita akan praktikkan amalan yang terbaik,” katanya.

Kerusi DUN Kempas menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Muhammad Faezuddin, penyandang Datuk Ramlee Bohani (Barisan Nasional) dan Salamahafifi Mohd Yusnaieny (Bersama).

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.  

-- BERNAMA

 

N47 : KEMPAS : 64,244 voters

1.Datuk Ramlee Bohani (BN-UMNO)

2.Muhammad Faezuddin Mohd Puad (PH-PKR)

3.Salamahafifi Mohd Yusnaieny (Bersama)

(2022: Datuk Ramlee Bohani: BN-UMNO: Maj: 3,514)

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574500