KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif tanpa kertas (paperless) dalam perkhidmatan awam berjaya menjimatkan 116,405 rim kertas dengan penjimatan kos sebanyak RM1.99 juta.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pencapaian itu dimaklumkan pada Mesyuarat Ekonomi Digital dan Revolusi Industri 4.0 (MED4IR) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
"Fokus hari ini kepada inisiatif MyDigital ID, MyGov serta peluasan akses digital di peringkat institusi pengajian tinggi negara.
"Mesyuarat turut setuju dengan usaha membangunkan bakat digital yang lebih komprehensif melalui MyMAHIR National AI Council for Industry," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Shamsul Azri yang juga Pengerusi Kluster Kerajaan dalam mesyuarat berkenaan, berkata Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Malaysia Digital 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri hari ini.
Sebelum ini, Shamsul Azri dilapor berkata perkhidmatan awam akan memulakan pelaksanaan pendekatan tanpa kertas bagi urusan mudah bermula 9 Feb lepas, selaras usaha mempercepat pendigitalan dalam pentadbiran kerajaan.
-- BERNAMA