AM

KPT Teliti Pembinaan Asrama Tampung 700 Pelajar TVET Di Betong - Adam Adli

29/06/2026 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menghalusi cadangan pembinaan sebuah kolej kediaman atau asrama yang mampu menampung kira-kira 700 pelajar di Betong, Sarawak bagi memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata kemudahan itu akan memberikan manfaat kepada pelajar Politeknik Metro Betong Sarawak (PMBS) dan Kolej Komuniti Betong.

Beliau berkata Jabatan Tanah dan Survei Negeri Sarawak telah mencadangkan sebidang tanah milik Persekutuan berkeluasan 8.814 hektar di daerah Batu Api, yang terletak kira-kira 650 meter dari kampus PMBS sebagai tapak pembangunan berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, kementerian akan membuat permohonan tukar guna tanah dan juga kelulusan yang tertakluk pada Jabatan Perdana Menteri sebagai pemilik tanah tersebut.

“Buat masa sekarang, kita meletakkan sasaran bahawa pembinaan bagi kolej kediaman ini akan menampung lebih kurang 700 orang atau lebih sedikit. Kita mahu isu ini diselesaikan sesegera mungkin,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) tentang keperluan menaik taraf PMBS kepada sebuah politeknik konvensional sepenuhnya demi menjamin ekuiti pendidikan serta masa depan anak luar bandar di Sarawak.

Mengulas perkara itu, Adam Adli berkata KPT mahu menyelesaikan isu asas berkaitan kebajikan dan tempat tinggal pelajar terlebih dahulu sebelum sebarang pertimbangan lanjut dikemukakan kepada agensi pusat.

Bagi memastikan institusi itu terus berkembang dan menarik minat lebih ramai pelajar, beliau berkata PMBS bakal menawarkan program baharu, iaitu Diploma Sistem Maklumat Perniagaan bermula Sesi 2 2026/2027 pada Disember nanti.

Ketika ini, PMBS mempunyai 291 pelajar yang mengikuti program Diploma Kewangan dan Diploma Pengurusan Pelancongan berbanding kapasiti maksimum 600 pelajar.

PMBS turut melaksanakan pelbagai kursus jangka pendek di bawah agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), termasuk bengkel perakaunan dan pengurusan pelancongan, yang merekodkan penyertaan 1,137 peserta pada tahun lepas.

Adam Adli berkata sementara menunggu projek asrama dilaksanakan secara berfasa, PMBS telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Kediaman dan Penempatan Pelajar bagi menyelaras urusan kebajikan, penempatan dan keselamatan penuntut yang menyewa di sekitar kawasan kampus.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574507