KUCHING, 29 Jun (Bernama) -- Atlet powerlifting negara Abrienda Chan berjaya memecahkan lima rekod kebangsaan dalam kategori bawah 57 kilogram (kg) baru-baru ini, pencapaian penting ke arah merealisasikan hasratnya untuk beraksi di kejohanan dunia.
Atlet berusia 20 tahun dari Sarawak itu mencipta kejayaan berkenaan pada Kejohanan Powerlifting Eagll Classic (EPC) 2026 di Kuala Lumpur, dengan beliau meraih tujuh pingat emas dan satu perak ketika bersaing dalam kategori junior dan terbuka.
Pencapaian itu hadir hanya beberapa minggu selepas Abrienda memberitahu Bernama bahawa beliau menyasarkan untuk mencipta rekod baharu kebangsaan sebagai sebahagian daripada persiapannya menghadapi dua kejohanan dunia utama tahun depan.
Beraksi dalam kategori bawah 57 kg, beliau mencipta lima rekod kebangsaan merangkumi rekod squat terbuka 128 kg, rekod bench press junior dan terbuka 70 kg, serta rekod jumlah keseluruhan junior dan terbuka 343 kg.
“Saya merancang untuk mencipta lebih banyak rekod, tetapi terdapat beberapa masalah teknikal ketika percubaan akhir squat saya, menyebabkan saya terlepas rekod squat junior. Kami mengambil keputusan untuk pilih jalan selamat dalam acara deadlift bagi memastikan pingat emas dan gelaran keseluruhan berada dalam genggaman,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Berketinggian hanya 151 sentimeter, Abrienda terus mencipta kejayaan luar biasa dalam sukan yang sering dikaitkan dengan atlet bertubuh sasa, dengan pencapaian terbaharunya semakin mengukuhkan status beliau sebagai antara bakat baharu sukan powerlifting negara.
Keputusan tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting buat atlet negara itu, yang sebelum ini mendominasi kategori subjunior bawah 52 kg dan masih memegang rekod kebangsaan bagi ketiga-tiga angkatan serta jumlah keseluruhan dalam kategori berkenaan.
Meskipun terlepas peluang untuk mencipta tambahan rekod, juara Piala SBD 2025 Wanita Klasik bawah 57 kg junior itu muncul sebagai juara keseluruhan junior/subjunior dan menamatkan saingan di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan kategori terbuka.
Abrienda mengakui pencapaian selaku naib juara dalam kategori terbuka merupakan kejutan terbesar dalam pertandingan itu, memandangkan beliau antara peserta termuda.
“Pencapaian paling mengejutkan sebenarnya ialah apabila saya menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan dalam kategori terbuka kerana saya antara peserta termuda. Saya tidak menyangka mendapat tempat itu bagi kedudukan keseluruhan terbuka,” katanya.
Pemenang pingat emas Kejohanan Powerlifting Klasik Asia 2024 itu berkata pertandingan berkenaan meningkatkan keyakinannya sebagai persiapan menghadapi cabaran antarabangsa tahun depan.
“Saya rasa lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar kerana saya memperoleh banyak pengalaman daripada persiapan menghadapi pertandingan ini serta lebih mengenali kemampuan diri saya.
“Saya berterima kasih kepada keluarga dan jurulatih atas sokongan yang diberikan. Tidak dilupakan, Turbo Fitness atas bantuan mereka, termasuk menyediakan tempat latihan serta membantu perbelanjaan perjalanan bagi menyertai pertandingan. Semua ini membolehkan saya memberi tumpuan untuk meningkatkan prestasi,” katanya.
Abrienda kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Kejohanan World Classic & Equipped Bench Press 2027 di Istanbul, Turkiye serta Kejohanan Powerlifting Klasik Dunia Subjunior & Junior 2027 di Haining, China, dengan harapan dapat menembusi kelompok tiga terbaik dunia dalam kategori junior bawah 57 kg.
-- BERNAMA