DUNIA

Dua Rakyat Malaysia Cedera Dalam Letupan Bom Di Narathiwat

29/06/2026 07:01 PM

Daripada Tuwaedaniya Meringing

NARATHIWAT, 29 Jun (Bernama) -- Dua lelaki rakyat Malaysia cedera dalam satu kejadian letupan bom yang menyasarkan sebuah kenderaan pasukan sukarelawan keselamatan di daerah Tak Bai, wilayah Narathiwat, selatan Thailand, pada Isnin.

Ketua Polis Narathiwat Mejar Jeneral Polis Prayong Khoksakha berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.40 pagi waktu tempatan yang turut melibatkan sebuah kenderaan berdaftar Malaysia.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bom buatan sendiri (IED) seberat kira-kira 70 kilogram itu diaktifkan menggunakan telefon bimbit dengan sasaran utama serangan ialah kenderaan pasukan sukarelawan Sungai Golok yang sedang melalui lorong kanan jalan.

"Bagaimanapun, sebuah kereta yang dinaiki dua rakyat Malaysia telah memotong kenderaan sukarelawan berkenaan sejurus sebelum bom itu diletupkan, menyebabkan kenderaan mereka terkena impak letupan," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 38 dan 45 tahun sedang dalam perjalanan dari Tak Bai ke bandar Narathiwat ketika kejadian berlaku.

Beliau berkata insiden itu terjadi berhampiran persimpangan tiga Kampung Sepom, daerah Tak Bai dan menyebabkan kenderaan mangsa rosak teruk.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Narathiwat Ratchanakarin untuk menerima rawatan. Seorang daripada mereka yang berusia 45 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah," katanya.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu. 

"Kami sedang berusaha menghubungi kedua-dua mangsa yang kini menerima rawatan di Hospital Narathiwat Ratchanakarin," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan mengesahkan berdasarkan laporan awal, tiada kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia akibat insiden.

“Laporan awal menunjukkan sebuah kenderaan berdaftar di Malaysia turut terjejas dalam letupan tersebut. 

“Konsulat Jeneral sedang berhubung aktif dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengumpul maklumat sahih selanjutnya dan bagi menyalurkan sebarang bantuan konsular yang sewajarnya kepada pihak yang terjejas,” menurut kenyataan itu. 

Kementerian menasihati rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di wilayah selatan Thailand supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia juga digesa untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular segera atau kecemasan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menerusi telefon/ WhatsApp: + (6674) 316 274/  + (6681) 990 1930 /  + (6674) 324 004 / + (6674) 312 353  atau emel: mwsongkhla@kln.gov.my.

Menurut Wisma Putra, kementerian akan terus memantau perkembangan situasi itu secara dekat dan akan menyalurkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa seiring perkembangan situasi dan setelah fakta rasmi disahkan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574589