KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Bina Puri Holdings Bhd memperoleh kelulusan prinsipal daripada pihak pembiaya yang mengambil bahagian bagi cadangan skim penstrukturan semula (PRS) miliknya, susulan proses pengantaraan oleh Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Bina Puri menyatakan CDRC memaklumkan kepada syarikat bahawa pihak pembiaya yang mengambil bahagian dan mewakili sekurang-kurangnya 75 peratus daripada nilai keseluruhan hutang, meluluskan terma dan syarat PRS tersebut.
Jawatan kuasa di bawah seliaan Bank Negara Malaysia itu memaklumkan, PRS itu kini mengikat semua pemberi pinjaman yang mengambil bahagian menurut Seksyen 8.8 Kod Tatakelakuan CDRC.
Bina Puri menjelaskan mesyuarat skimnya akan diadakan pada 30 Jun, 2026 atau pada mana-mana tarikh penangguhan mesyuarat itu bagi membolehkan pemiutang skim syarikat mempertimbangkan dan jika dipersetujui, meluluskan cadangan skim pengaturan tersebut.
Awal tahun ini, Bina Puri mengumumkan ia memperoleh lanjutan selama enam bulan bagi tempoh penangguhan pembayaran hutang secara tidak formal daripada CDRC.
Ini sekali gus melanjutkan tempoh penangguhan itu hingga 6 Ogos, 2026 bagi memberi lebih masa kepada kumpulan untuk memuktamadkan pelan penstrukturan semulanya.
-- BERNAMA