AM

Sultan Nazrin Rasmi SMAR Orang Asli Nurul Hidayah, Sekolah Perkasa Pendidikan Orang Asli

30/06/2026 11:55 AM

SUNGAI SIPUT, 30 Jun (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Orang Asli Nurul Hidayah, Kampung Kenang, Sungai Siput Utara, di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.

Sultan Nazrin bertitah SMAR Nurul Hidayah, yang merupakan SMAR Orang Asli pertama di Malaysia telah membantu dan berperanan sebagai pemangkin perubahan kepada masyarakat Orang Asli Kampung Kenang. 

“Penubuhan sekolah ini merupakan mercu tanda penting dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri Perak. 

“Bermula dengan pusat pengajian dakwah dan fardu ain, kemudian berkembang hingga menjadi pusat pendidikan pertama di Perak yang menyediakan kurikulum seragam bagi pembelajaran akademik dan agama,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah setelah melalui tempoh masa lebih tiga dekad, SMAR Nurul Hidayah telah melakar legasi dan sejarah, serta mencipta kejayaan membangunkan masyarakat Orang Asli, khususnya di Perak. 

Titah baginda penubuhan sekolah ini bukan sekadar pembinaan sebuah institusi pendidikan, tetapi merupakan pelaburan besar untuk membantu menyediakan masa hadapan lebih baik kepada anak-anak Orang Asli. 

Titah Sultan Nazrin lagi, sekolah berkenaan merupakan manifestasi komitmen MAIPk dalam membantu merealisasikan wawasan negara memastikan setiap anak, tanpa mengira latar belakang keturunan atau geografi, mempunyai peluang sama untuk menimba ilmu, membina masa hadapan serta memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara.

Sultan Nazrin turut bertitah SMAR Nurul Hidayah mempunyai peranan strategik dalam landskap pendidikan di negeri itu, yang bukan sahaja berjaya membangunkan modal insan berilmu, malah merupakan benteng utuh yang memelihara akidah, syariat, dan akhlak generasi muda. 

“Beta disembah maklum pencapaian anak-anak di sekolah ini amat memberangsangkan dan apa yang lebih membanggakan, ada antara mereka, telah kembali ke lapangan masyarakat menyumbangkan tenaga dan bakti bagi memajukan pendidikan serta pemikiran masyarakat Orang Asli di negeri ini. 

“Semoga prasarana baharu Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah ini akan menyuntik semangat kepada barisan pendidik untuk mempertingkatkan mutu pengajaran, sekali gus dapat menyalakan azam yang lebih membara dalam dada para pelajar untuk menuntut ilmu. 

“Semoga sekolah ini akan terus berperanan sebagai tapak semaian melahirkan lebih ramai generasi Orang Asli yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki pegangan agama kukuh, akhlak mulia dan semangat kepimpinan yang tinggi,” titah Sultan Nazrin. 

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menekankan pendidikan ialah proses memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.

Titah baginda, pendidikan merupakan kunci utama yang membuka pintu kemajuan, membentuk akhlak, memperkukuh jati diri dan mengangkat martabat sesebuah masyarakat

“… berasaskan empat dimensi utama; intelek, rohani, emosi dan jasmani, mendidik bukan sekadar memindahkan ilmu pengetahuan dan maklumat semata-mata; mendidik adalah mengajar, melatih dan mengasuh dalam membentuk peribadi dan sahsiah dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai agama untuk memberi manfaat kepada diri dan orang lain. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574770