AM

LKIM Peruntuk RM2 Juta Bina Jeti Pendaratan Ikan

30/06/2026 05:13 PM

BANDAR PERMAISURI, 30 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta sejak tahun lepas bagi kerja-kerja membina baharu jeti pendaratan ikan di seluruh negara.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata pada tahun ini sahaja, LKIM telah menyiapkan pembinaan sebuah jeti baharu di Merang di sini manakala dua lagi projek pembinaan jeti baharu, iaitu di Perak dan Labuan masih dalam proses dokumentasi serta perolehan tender.  

"Peruntukan yang ada ketika ini masih terhad. Justeru, LKIM berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tambahan peruntukan dalam belanjawan tahun hadapan supaya lebih banyak kemudahan jeti dapat dibina di seluruh negara,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Jeti Pendaratan Ikan Kampung Merang, di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata LKIM kini menguruskan sebanyak 372 jeti pendaratan ikan di seluruh negara, selain 48 kompleks dan pelabuhan perikanan, sekali gus membuktikan komitmen pihaknya dalam memperkukuh infrastruktur sektor perikanan negara serta meningkatkan pendapatan nelayan.

Dalam pada itu, beliau berkata Jeti Pendaratan Ikan Kampung Merang yang dibina dengan kos RM500,000 itu mula beroperasi hari ini, sekali gus memanfaatkan 124 nelayan membabitkan 68 buah bot. 

Katanya, jeti binaan konkrit itu dibina bagi menggantikan kemudahan jeti lama yang dibina sendiri oleh orang kampung serta kurang sesuai dan selamat bagi kerja-kerja pendaratan ikan.

 “Rekod semasa menunjukkan jumlah pendaratan ikan di Setiu adalah sekitar 243 tan metrik setahun dan LKIM yakin jumlah itu akan meningkat apabila kemudahan baharu ini digunakan sepenuhnya. 

"Nelayan bergantung kepada hasil tangkapan untuk meneruskan kehidupan. Dengan adanya kemudahan pendaratan yang lebih baik, urusan menjual hasil tangkapan menjadi lebih mudah, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574949