AM

Subsidi Diesel: Industri Pelancongan Sabah Perlu Diberi Pertimbangan Khas - Jafry

30/06/2026 07:02 PM

KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan diminta memberi pertimbangan khas kepada industri pelancongan Sabah dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar termasuk memasukkan sektor itu dalam mekanisme subsidi atau kaedah sokongan yang lebih bersesuaian.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata ini penting kerana geografi serta realiti operasi di Sabah yang unik, terutama kawasan pulau dan pedalaman yang masih bergantung kepada diesel.

Beliau berkata diesel bukan sahaja digunakan untuk menjana bekalan elektrik tetapi juga menjadi sumber tenaga utama bagi pengangkutan, logistik dan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk operasi industri pelancongan.

Jafry berkata had penggunaan diesel sebanyak 200 liter sebulan tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi pengusaha pelancongan di kawasan pulau dan pedalaman di Sabah dan kementeriannya menerima pelbagai aduan daripada pemain industri yang bergantung sepenuhnya kepada bahan api itu.

“Kebanyakan pulau pelancongan di Sabah tidak mempunyai sambungan grid elektrik dan diesel bukanlah pilihan tetapi keperluan asas agar operasi dapat diteruskan untuk menjana bekalan elektrik, mengendalikan pengangkutan laut, logistik serta keseluruhan operasi harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebahagian besar pengusaha pelancongan di Sabah tidak termasuk dalam kategori layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos operasi lebih tinggi tanpa sebarang bentuk bantuan.

“Industri pelancongan antara penyumbang utama kepada ekonomi Sabah dan menyediakan peluang pekerjaan untuk ribuan rakyat negeri ini. Justeru, sebarang dasar berkaitan subsidi diesel perlu mengambil kira realiti operasi industri ini di Sabah agar ia terus berkembang secara mampan.

“Saya yakin Kerajaan Persekutuan akan mempertimbang rayuan ini secara konstruktif demi memastikan objektif rasionalisasi subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan kelangsungan industri pelancongan Sabah yang menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Katanya, keadaan ini membimbangkan kerana industri pelancongan Sabah masih belum memasuki musim kemuncak ketibaan pelancong sekali gus bakal menyaksikan peningkatan kos operasi dan memberi impak kepada margin keuntungan serta aliran tunai pengusaha.

Jafry turut memaklumkan surat rasmi berhubung perkara itu telah dihantar kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah bagi memohon pertimbangan khas terhadap industri pelancongan Sabah.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575040