Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz
MUAR, 30 Jun (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan Ng Yak Howe, meletakkan agenda menghidupkan semula pasaran sosioekonomi di pusat bandar sebagai strategi utama bagi mengatasi isu penghijrahan penduduk ke kawasan lain.
Ng yang juga penyandang kerusi itu berkata kawasan berkenaan, merangkumi lebih 50 peratus pusat bandar Muar yang kini berdepan cabaran premis kosong selepas waktu pejabat, susulan perpindahan penduduk ke kawasan pinggir bandar.
“Pusat bandar ini menghadapi satu masalah, ramai penduduk sudah berhijrah keluar daripada pusat bandar. Jadi kita nampak pada siang memang dia sibuk sebab ada aktiviti perniagaan, tapi selepas waktu pejabat agak sunyi dekat.
“Jadi kita nak menarik lebih ramai orang balik ke pusat bandar ini untuk mengaktifkan balik kawasan ini, terutamanya orang muda untuk adakan aktiviti dan perniagaan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Terdahulu beliau telah menyantuni peniaga-peniaga dan orang ramai pada satu sesi tinjauan mesra di sekitar bandar Muar.
Bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi komersial, Ng yang bekerjasama rapat dengan Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin, telah menggerakkan inisiatif seperti pemberian baucar tunai dan kempen cabutan bertuah bagi menggalakkan orang ramai berbelanja di premis tempatan sebelum ini.
Ng, bekas jurutera jaminan kualiti yang berpengalaman lebih 10 tahun, menjelaskan langkah mikroekonomi berkenaan dirangka khusus, bagi memanfaatkan baki 18 peratus premis kosong di pusat bandar tersebut.
Beliau yang terlibat dalam arena politik lebih daripada 25 tahun kini bertanding untuk penggal ketiga dan juga memegang jawatan dalam struktur organisasi parti sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP Johor.
PRN Johor ke-16 menyaksikan Ng berhadapan calon Barisan Nasional (BN) Chua Lee Huat di DUN Bentayan yang mempunyai 34,205 pengundi.
Sebanyak 172 calon bertanding dalam PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N12: BENTAYAN: 34,205 pengundi
1. Ng Yak Howe (PH-DAP)
2. Chua Lee Huat (BN-MCA)
(2022: Ng Yak Howe: PH-DAP: Maj: 7,476)