POLITIK

PRN Johor: "Jambatan Kepada Keresahan Rakyat" Jadi Pegangan Pandak Di Kota Iskandar

01/07/2026 04:40 PM

JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Prinsip sebagai "jambatan kepada keresahan rakyat" menjadi pegangan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad dalam melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat menerusi pendekatan mendengar, memahami serta menyelesaikan masalah penduduk.

Pandak yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 berkata pegangan tersebut mendorong beliau meneruskan kesinambungan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang penggal lepas, dengan keutamaan diberikan kepada penyelesaian isu merentasi semua lapisan masyarakat.

“Bila kita berpegang kepada prinsip itu, kita sedang memegang amanah. Orang tua-tua selalu ingat, jangan nanti bila meninggal dunia kita ditanya tentang amanah yang kita pegang,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama.

Antara pencapaian yang disifatkan beliau sebagai kejayaan utama ialah pembinaan 12,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat Johor yang membuka peluang kepada golongan berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri, selain pembinaan sebuah masjid baharu di Pulai Emas dan penubuhan pusat aktiviti belia Tunku Mohkota Ismail Youth Centre (TMIYC).

Beliau berkata usaha menambah baik sistem pentadbiran bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) turut membolehkan proses pelesenan peniaga kecil dipercepatkan dengan permohonan kini boleh diluluskan dalam tempoh sehari.

“Kita juga berjaya mendapatkan semula tanah seluas sembilan ekar (3.64 hektar) yang sebelum ini dimiliki pihak swasta untuk dibangunkan sebagai hab tangkapan nelayan secara komersial. Ia akan dibangunkan dengan lebih teratur termasuk penempatan semula gerai peniaga,” katanya.

Pandak berkata transformasi Kampung Sungai Melayu daripada sebuah perkampungan nelayan tradisional berusia lebih 160 tahun kepada destinasi pelancongan baharu memberi impak besar kepada komuniti setempat.

Beliau berkata pembangunan prasarana bernilai hampir RM22 juta telah mengubah wajah kampung berkenaan hingga muncul sebagai antara produk pelancongan utama di bawah MBIP, yang kini menerima lebih 100,000 pengunjung sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Ditanya mengenai isu yang masih memerlukan perhatian, Pandak berkata kesesakan lalu lintas akibat pembangunan pesat kawasan perumahan, khususnya di laluan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke Pulai Indah serta Gelang Patah ke Kampung Ulu Pulai menjadi antara keluhan utama penduduk.

Beliau berkata beberapa langkah penyuraian trafik telah dan sedang dirancang termasuk menaik taraf lampu isyarat kepada sistem pintar, pembinaan dua jejambat baharu serta sebuah persimpangan bertingkat yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan Taman Sri Pulai dan Taman Teratai.

Mengenai perancangan masa depan sekiranya diberi mandat semula, Pandak berkata aspek pendidikan akan terus diberi keutamaan, selain merealisasikan pembinaan kira-kira 300 unit rumah di Pekan Gelang Patah dan lebih 800 unit di Taman Damai, Pulau Hijauan dengan harga di bawah RM300,000 seunit.

Beliau turut melihat potensi menjadikan Pendas sebagai destinasi pelancongan baharu di Kota Iskandar mengambil kira kekuatan sektor perikanan yang dimiliki penduduk setempat, dengan mengadaptasi pendekatan pembangunan yang dilaksanakan di Kampung Sungai Melayu.

“Di Sungai Melayu, kita bangunkan sektor ekopelancongan dengan menyediakan perkhidmatan bot untuk membawa pengunjung menikmati keindahan kawasan itu, manakala di Pendas hasil tangkapan ikan lebih banyak dan komuniti nelayannya lebih besar, jadi kita melihat potensi untuk menggabungkan aktiviti perikanan dan ekopelancongan bagi meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya.

Dalam kempen PRN Johor kali ini, Pandak berkata pendekatan bersemuka kekal menjadi keutamaan, namun pada masa sama beliau turut memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Threads bagi mendekati pengundi muda yang mewakili lebih 131,000 pengundi di Kota Iskandar, antara yang terbesar di Johor.

DUN Kota Iskandar yang mempunyai 132,579 pemilih berdaftar menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pandak, calon Pakatan Harapan (PH) Dzulkefly Ahmad, S. Anna Pravina daripada Perikatan Nasional (PN)  dan Sahrudin Omar mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

N49: KOTA ISKANDAR - 132,579 pengundi

1. S. Anna Pravina (PN-MIPP)

2. Dzulkefly Ahmad (PH-Amanah)

3. Datuk Pandak Ahmad (BN-UMNO)

4. Sahrudin Omar (Bersama)

(2022: Datuk Pandak Ahmad: BN-UMNO: Maj: 4,360)

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575317