KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM500,000 kepada 106 pemenang bagi Kempen Cabutan Prime Bonanza yang berlangsung bermula hari ini hingga 31 Okt.
PTPTN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kempen tersebut adalah bertujuan untuk menghargai pendeposit yang memilih Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime sebagai instrumen simpanan pendidikan dan menawarkan dua kategori cabutan iaitu Platinum dan Gold.
Bagi kategori Platinum, hadiah utama ialah sebuah kereta Jaecoo J7 2WD PHEV, diikuti wang tunai berjumlah RM50,000 bagi tempat kedua, RM30,000 (ketiga) serta 50 hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000 setiap pemenang.
Bagi kategori Gold pula, hadiah utama merupakan sebuah kereta Proton X50 Flagship, diikuti wang tunai RM30,000 bagi tempat kedua, RM10,000 (ketiga) serta 50 hadiah saguhati berupa wang tunai RM500 setiap pemenang.
Menurut PTPTN, pendeposit hanya perlu membuka akaun atau menambah simpanan sepanjang tempoh kempen, dengan setiap simpanan bersih RM100 dalam Simpan SSPN Prime melayakkan mereka menerima 10 penyertaan cabutan.
“Pengguna yang membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN, potongan gaji atau debit terus pula akan mendapat cabutan berganda sebanyak 20 cabutan (bagi setiap RM100 simpanan bersih),” menurut kenyataan itu.
PTPTN turut menetapkan akaun perlu kekal aktif tanpa sebarang pengeluaran atau pindahan simpanan sepanjang tempoh pengekalan bermula 1 November depan sehingga 31 Jan, 2027.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata kempen itu mencerminkan komitmen PTPTN menghargai kesetiaan pendeposit, di samping menggalakkan budaya menabung sebagai persediaan awal membiayai pendidikan tinggi anak-anak.
Dalam pada itu, PTPTN turut memaklumkan Ahmad Dasuki baru-baru ini menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 kategori Cabutan WOW! Plus Siri 1 iaitu Lun Ying Chian serta pemenang utama Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! kategori Cabutan Slay 1 Heaw Zi Bin.
Pemenang utama Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 1 memenangi hadiah wang tunai RM20,000 manakala pemenang utama kategori Cabutan Slay 1 memenangi sebuah motosikal Yamaha NVX 155.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.
Selain itu, menerusi inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, pelajar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) daripada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000, kini turut layak memohon Geran Sepadan sehingga RM5,000 setiap keluarga.
Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.
-- BERNAMA