SUKAN

KBS Pertimbang Perluas Dana Sukan Komuniti Ke Negeri Berprestasi Baik

01/07/2026 04:40 PM

KOTA SAMARAHAN, 1 Julai (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia mempertimbangkan permohonan tambahan Dana Sukan Komuniti (DSK) kepada mana-mana negeri yang menggunakan peruntukan sedia ada sepenuhnya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata dana berkenaan terbuka kepada semua negeri dan kelab yang memenuhi syarat permohonan bagi membantu penganjuran pelbagai aktiviti sukan di seluruh negara.

“Mereka hanya perlu membuat permohonan DSK melalui saluran betul supaya dapat dipertimbangkan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Seminar Kepimpinan Wanita dalam Sukan 2026 di UiTM Kota Samarahan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KBS bercadang memperluaskan model pemberian dana tambahan, seperti dilaksanakan di Pulau Pinang kepada negeri-negeri lain yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Mordi berkata KBS turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk Geran Padanan Sukan (GPS) bagi menyokong penganjuran aktiviti sukan di pelbagai peringkat termasuk di peringkat akar umbi.

Bagi tahun ini, katanya KBS memperuntukkan RM30 juta di bawah GPS dan RM20 juta bagi DSK. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575361