EKONOMI

U Mobile Selesai Beralih Kepada Rangkaian 5G Sendiri, Keluar Daripada Perjanjian Borong DNB

01/07/2026 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd berjaya beralih kepada rangkaian ULTRA5G milik sendiri di seluruh negara selepas keluar daripada perjanjian akses borong dengan Digital Nasional Bhd (DNB).

Dalam kenyataan hari ini, U Mobile menjelaskan peralihan itu dijangka memberikan lebih fleksibiliti kepada pihaknya untuk menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik melangkaui ketersambungan menerusi rangkaian yang lebih kukuh, keunikan produk dan perkhidmatan serta inovasi yang berterusan.

Sejak memulakan pelaksanaan 5G pada Julai 2025, U Mobile telah mencapai lebih 85 peratus liputan bagi kawasan berpenduduk (CoPA), sekali gus menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi pelaksanaan rangkaian 5G terpantas di negara ini, tambah firma telekomunikasi itu

U Mobile juga membuat pelaburan besar dalam liputan dalam bangunan (IBC), sekali gus membolehkan pengalaman penggunaan 5G yang lebih lancar di pelbagai lokasi.

U Mobile turut membangunkan lebih 190 tapak IBC di seluruh negara dan berada di landasan untuk meningkatkan jumlah itu kepada lebih 600 tapak, seterusnya memperkukuh pengalaman 5G paling meluas dan kukuh di negara ini merangkumi persekitaran luar dan dalam bangunan.

"Selain itu, U Mobile memperoleh pembiayaan berkumpulan bernilai RM4.3 bilion daripada konsortium institusi kewangan tempatan dan antarabangsa terkemuka bagi menyokong pengembangan serta penambahbaikan berterusan rangkaiannya.

“Ini akan mengukuhkan komitmen jangka panjang kami dalam menyediakan ketersambungan berkualiti tinggi di seluruh Malaysia," menurut syarikat itu.

Menurut U Mobile, peralihan tersebut susulan langkah keluar daripada perjanjian akses borong dengan DNB yang berkuat kuasa 1 Julai, 2026.

Menurutnya, perjanjian borong itu kekal sebagai langkah sementara bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan 5G dan pada masa sama U Mobile mempercepat pelaksanaan rangkaiannya sendiri.

Peralihan itu dilaksanakan secara berperingkat, dan semua pelanggan kini telah dipindahkan kepada rangkaian ULTRA5G U Mobile, tambahnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575396