PASARAN

Pasaran Getah KL Ditutup Rendah Susulan Kelemahan Niaga Hadapan Serantau

01/07/2026 05:46 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Rabu susulan kelemahan niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata jangkaan peningkatan bekalan getah asli daripada negara pengeluar utama Asia Tenggara selepas berakhirnya tempoh luruh daun turut menekan sentimen pasaran, selain ketidaktentuan baharu berhubung rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran.

“Sentimen pasaran global kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan rundingan damai Amerika Syarikat–Iran serta situasi geopolitik di Asia Barat,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata penurunan selanjutnya dihadkan oleh aktiviti pembuatan China yang berdaya tahan serta permintaan berterusan daripada sektor pembuatan tayar, apabila pembeli terus mendapatkan getah bagi pengeluaran tayar untuk eksport seiring pemulihan ekonomi global yang beransur-ansur.

Pada 3 petang hari ini, harga Getah Mutu Malaysia susut dua sen kepada 866 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun lima sen kepada 750 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575419