POLITIK

MCA BINCANG PEMBAHAGIAN KERUSI UNTUK PRN SABAH

22/09/2024 07:13 PM

KOTA KINABALU, 22 Sept (Bernama) -- MCA Sabah sedang mengadakan perbincangan secara dalaman bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. 

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata MCA Sabah sentiasa bersiap sedia dan  memberikan fokus untuk memastikan kemenangan dapat dicapai dalam pilihan raya berkenaan.

Beliau berkata MCA Sabah komited untuk melakukan yang terbaik memandangkan keadaan politik semasa di negeri ini yang agak berbeza pada masa sekarang.

"Kita lihat senario politik agak berlainan selepas melalui proses PRN (Sabah) ke-16 yang luar biasa. Keadaan pada waktu itu dengan sekarang sudah jauh berbeza ... .Jadi kita dalam BN akan bekerja sebagai satu pasukan, dan apa yang penting adalah bagaimana proses perbincangan dalaman BN ini.

“Saya rasa kita serah pada BN Sabah. Biasanya Sabah diberi autonomi baik untuk UMNO, MCA ataupun parti-parti lain, jadi saya yakin mereka lebih arif tentang apa yang berlaku di Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MCA Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MCA Sabah Datuk Teah Heok Kuin manakala Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin diwakili setiausaha politiknya Datuk Abdul Aziz Julkarnain.

Wee berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang ramalan sebaliknya apa yang penting ketika ini adalah untuk melakukan kerja di lapangan bagi memastikan kejayaan pada PRN itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan