AM

PEMIKIRAN MENYIMPANG AJARAN ISLAM TUNTUT TINDAKAN BERSEPADU - ANWAR

24/09/2024 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pemikiran dan beberapa aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jaamah menuntut tindakan serius dan bersepadu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama agensi penguat kuasa untuk membanterasnya sehingga akar umbi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan MADANI memandang serius segala bentuk aliran yang menyimpang serta menyentuh pegangan akidah dan syariat umat Islam di Malaysia.

“Moga Allah melindungi kita dan negara ini daripada sebarang bahaya, ancaman yang menyimpang dan boleh merosakkan pegangan sebenar akidah dan syariat kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang berkongsi mengenai pertemuan beliau bersama pengurusan tertinggi JAKIM hari ini.

Anwar berkata pertemuan itu diadakan bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan hal ehwal Islam di negara ini termasuk sektor halal.

“Platform ini penting, mengambil kira perkembangan mutakhir khususnya mengenai prospek ekonomi dalam sektor halal di dalam dan luar negara, yang menagih kebersamaan antara agensi Persekutuan bagi membantu merancakkan lagi industri halal Malaysia,” kata beliau dalam hantaran sama.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan