AM

BELANJAWAN 2025 : NELAYAN KELANTAN HARAP ELAUN SARA HIDUP, SUBSIDI DIESEL DIKEKALKAN

24/09/2024 09:36 PM

KOTA BHARU, 24 Sept (Bernama) -- Persatuan Nelayan Negeri Kelantan (Peneka) berharap kerajaan akan terus mengekalkan elaun sara hidup dan subsidi diesel pada harga terendah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt ini.

Pengerusi Peneka Mohamad Sham Abd Kadir berkata bantuan insentif tersebut oleh kerajaan dapat meringankan beban golongan itu menghadapi kenaikan kos sara hidup dan pendapatan tidak menentu.

Beliau berkata elaun sara hidup sebanyak RM300 dan subsidi diesel RM1.65 seliter pada masa ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan nelayan.

"Ia juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kami selain pihak kami berharap ia akan dikekalkan dan diteruskan,”katanya kepada Bernama baru-baru ini.

“Malah, sekiranya ia tidak membebankan, kami berharap elaun sara hidup turut diberikan kepada golongan nelayan membabitkan Zon C memandangkan ketika ini hanya nelayan dari Zon A dan Zon B sahaja yang menerima manfaat tersebut,” katanya.

Mohamad Sham berkata untuk rekod, sehingga kini seramai 3,741 nelayan berdaftar di bawah Peneka.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan