AM

FAHMI SAHKAN KP JKOM DITAMATKAN PERKHIDMATAN

25/09/2024 04:46 PM

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Mohd Khairuddin Othman telah ditamatkan perkhidmatannnya, semalam.

“Dalam jawatan kontrak, mana-mana pelantikan dan penamatan ada prosesnya. Pelantikan dan penamatan adalah perkara biasa, ia berpandukan proses saya sebutkan tadi, jadi ia adalah teratur,” katanya.

“Pada waktu ini, tugasnya dipangku,” katanya dalam sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Semalam, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu mengesahkan telah menerima surat penamatan jawatan berkenaan.

Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM sejak 1 Mac,  bagi mengisi kekosongan jawatan yang sebelum itu disandang Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan