AM

BEKALAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI DI KEDAH MENCUKUPI - KPDN

25/09/2024 06:48 PM

ALOR SETAR, 25 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menafikan berlaku gangguan pada peringkat pengeluaran dan pengedaran minyak masak peket 1 kilogram (kg)  bersubsidi di pasaran Kedah.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin memaklumkan perkara itu hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas 21 syarikat pembungkusan yang membekalkan 3.443 juta kg minyak masak peket 1kg bersubsidi.

“Berhubung satu kenyataan media mengenai kekurangan bekalan minyak masak 1kg di sekitar Sungai Petani, KPDN telah menjalankan pemeriksaan dan mendapati kuota pengeluaran minyak masak peket 1kg bagi lima syarikat pembungkusan yang beroperasi di Sungai Petani, sebanyak 671,000kg dan mampu menampung permintaan di daerah itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Nizam berkata bermula 1 Jan hingga semalam, sebanyak 32 kes telah diambil tindakan yang melibatkan barang kawalan berjadual bagi komoditi minyak masak termasuk tiga kesalahan enggan menjual minyak masak dan satu kes meletakkan syarat bagi pembelian minyak masak kepada pengguna.

Beliau berkata nilai sitaan keseluruhan bagi kes yang membabitkan minyak masak pada tahun ini berjumlah RM3,433.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan