AM

ASPEK PEMELIHARAAN MANUSKRIP DIBERI PENEKANAN PADA SEMINAR SEMPENA IIBF 2024

26/09/2024 12:36 PM

Daripada Nur Khalidah Abdul Halim

JAKARTA, 26 Sept (Bernama) -- Aspek pemeliharaan dan pengurusan manuskrip lama antara perkara diberi penekanan menerusi Seminar Pengantarabangsaan Manuskrip Nusantara yang diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2024.

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Noor Amin Ahmad berkata menerusi seminar sehari itu, isu seperti konservasi, digitalisasi dan akses kepada manuskrip adalah sangat kritikal dalam memastikan kelangsungan warisan Nusantara.

“Usaha terbabit bukan sahaja melibatkan teknologi, tetapi juga memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak dalam memastikan manuskrip lama dapat dijaga dan disimpan untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucapan aluan pada seminar yang diadakan di Perpustakaan Jakarta dan Pusat Dokumen Sastra HB Jassin di sini semalam.

Seminar julung kali itu diadakan bersempena penyertaan delegasi Malaysia diterajui oleh ITBM ke IIBF 2024 yang berlangsung di sini semalam hingga Ahad ini.

Lebih 100 peserta menghadiri seminar berkenaan terdiri daripada sasterawan negara, ahli akademik, penyelidik, penggiat manuskrip Nusantara, mahasiswa, penerbit buku, persatuan dan wakil kementerian serta agensi kerajaan dari Malaysia dan Indonesia.  

Selain itu, Noor Amin berkata jalinan kerjasama antara universiti dan institusi di rantau ASEAN penting bagi mengembangkan penyelidikan serta kajian tentang manuskrip Nusantara.  

“Saya percaya, dengan adanya kajian mendalam serta usaha mengaplikasikan ilmu yang terkandung dalam manuskrip, kita akan dapat menemukan banyak hikmah dan pengetahuan untuk dimanfaatkan sama ada dalam bidang pendidikan, perundangan, falsafah atau sains,” katanya.

Sementara itu, Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh berkata pelbagai langkah perlu dilakukan oleh semua pihak terlibat untuk memastikan negara mendapatkan salinan naskhah manuskrip yang disimpan oleh Barat agar disiplin yang terkandung di dalamnya boleh dimanfaatkan kepada bangsa lain.

Beliau berkata masyarakat banyak menggunakan ilmu daripada Barat walaupun dalam lebih 20,000 manuskrip Nusantara yang ada, terkandung pelbagai ilmu alam Melayu untuk dikaji serta dimanfaatkan.

Susulan itu, Muhammad berkata penting untuk masyarakat khususnya golongan muda di peringkat sekolah rendah didedahkan dengan ‘wajah’ sebenar manuskrip agar kewujudan warisan bangsa itu dapat dijaga.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan