AM

PESAWAH KAWASAN LPP DI KEDAH RUGI RM13.5 JUTA AKIBAT BANJIR

26/09/2024 02:50 PM

JITRA, 26 Sept (Bernama) -- Seramai 972 pesawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di negeri ini mengalami kerugian kira-kira RM13.5 juta selepas kawasan tanaman padi seluas lebih 1,500 hektar ditenggelami banjir.

Pengerusi LPP Datuk Mahfuz Omar berkata Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun di sini antara yang terjejas teruk dengan 367 hektar sawah terkesan yang melibatkan 189 pesawah.

“Menyedihkan apabila tanaman yang terlibat berusia antara 85 hingga 100 hari, hanya tunggu dituai...petani kini dalam dilema kerana terpaksa tuai juga untuk nak bajak semula sawah, sedangkan padi tak memberi hasil untuk menampung kos operasi akan datang.

“Saya difahamkan, PPK Asun di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menghasilkan padi yang elok, bagi saya 1.8 tan metrik serelong (0.28 hektar) adalah tinggi dan menghampiri kawasan jelapang (MADA), saya harap mereka bersabar dengan ujian Allah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan bakul makanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui LPP kepada mangsa banjir di Kampung Paya Tok Teh di sini.

Mahfuz berkata sehingga kini kerja-kerja bancian sedang dijalankan pihak Jabatan Pertanian bagi mentafsir kerugian dihadapi petani sebelum menetapkan jumlah pampasan kepada mereka.

Beliau berkata kerjasama semua pihak khususnya para petani amat diperlukan bagi melancarkan proses bancian itu.

“Saya harap Jabatan Pertanian cepat melakukan bancian sebelum diangkat kepada pihak KPKM dan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan untuk ganti rugi kepada petani.

“Kita tunggu banci dulu, ia agak ambil masa kerana petani perlu isi borang dan mendapat pengesahan daripada Jabatan Pertanian, kerana kerajaan tidak boleh semberono saja dan perlu mengambil masa dan perlu ada penelitian,” katanya.

Sementara itu, seorang pesawah Arman Majid, 58, berkata lebih 10.93 hektar sawahnya tenggelam akibat banjir dan berharap bantuan ganti rugi yang sewajarnya dapat diberikan bagi menampung kerugian dialami.

“Harap dapat bantuan ini, sekurang-kurangnya lepas lah duit sewa traktor dengan mesin padi, sekarang ini risiko kita yang tanggung, dengan mesin, traktor dan benih pun naik harga, kalau nak ikutkan memang tak berbaloi bila jadi macam ni.

“Apa pun kami terpaksa kena ambil (tuai) padi ini untuk kami usahakan bagi musim baharu nanti, biasa dulu pun dah banjir habis tenggelam padi ni...padi tu dibuang saja, bagi makan ayam, dah tak boleh nak jual,” katanya.​​​​​​

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan