AM

KPKM LULUS RM300,000 LABUH UNJAM DI SEKITAR LUAR TAMAN LAUT MELAKA

26/09/2024 04:35 PM

MELAKA, 26 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi program melabuhkan unjam di  luar sekitar perairan Taman Laut Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata program itu dijangka dilaksanakan pada November depan dan kini dalam proses menyiapkan unjam berkenaan.

"Kerajaan negeri prihatin dengan aduan dan keluhan daripada nelayan mengenai kekangan mereka untuk menangkap hasil laut berikutan aktiviti perikanan adalah dilarang sama sekali di kawasan terbabit selepas diwartakan pada tahun lepas.

"Justeru kita memohon peruntukan daripada KPKM untuk melabuhkan unjam di luar kawasan itu dalam usaha menambah sumber perikanan sekali gus memudahkan nelayan menangkap hasil laut," katanya kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) Perairan Pulau Dodol di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perikanan negeri Saufi Affandi Talib.

Dr Muhamad Akmal berkata Taman Laut Melaka meliputi jarak satu batu nautika di kawasan perairan sekeliling pulau yang diwartakan iaitu Pulau Dodol, Pulau Nangka dan Pulau Undan.

Dalam pada itu, beliau berkata pada program berkenaan, sebanyak 12 tukun tiruan dasar lembut penghalang pukat tunda (konservasi) bernilai RM374,510 dilabuhkan di perairan Pulau Dodol.

"Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) bersama Pejabat Perikanan Melaka menjalankan kajian kesesuaian tapak dan hasil daripada kajian itu, hanya terdapat satu lokasi bersesuaian untuk dilabuhkan tukun tiruan itu iaitu di perairan Pulau Dodol.

"Selain itu, sejak dari 2008 sehingga kini, sebanyak 78 unit tukun tiruan dilabuhkan di kawasan perairan Pulau Besar dan perairan Taman Laut Melaka dengan nilai lebih RM1.5 juta," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Muhamad Akmal berkata Jabatan Perikanan negeri juga dalam perancangan memusatkan kaunter pembelian tiket bot ke Taman Laut Melaka di satu jeti sahaja bagi memudahkan pelancong yang datang.

Beliau berkata sehingga kini terdapat tiga jeti berlainan yang menawarkan perkhidmatan pengendali bot bagi perjalanan ke Taman Laut Melaka.

"Sejak Januari hingga Ogos juga, terdapat seramai 2,911 pengunjung datang ke Taman Laut Melaka dan kita akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak lain bagi memastikan usaha ini dapat dijayakan," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan