EKONOMI

NORTHEAST SASAR KUMPUL RM84.5 JUTA DARIPADA IPO PASARAN ACE

26/09/2024 04:41 PM

 

GEORGE TOWN, 26 Sept (Bernama) — Northeast Group Bhd sasar untuk mengumpul kira-kira RM84.5 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya Pasaran ACE pada 15 Oktober depan.

Pengeluar komponen kejuruteraan ketepatan itu menerbitkan 168.99 juta saham baharu pada harga IPO 50 sen sesaham.

Pengerusi Northeast Group, Datuk Seri Lee Kah Choon berkata kumpulan itu merancang untuk memperuntukkan kira-kira RM40 juta daripada hasil kutipan kepada pembinaan kilang keempatnya di Pulau Pinan.

“Fasiliti berkeluasan 227,687 kaki persegi (kaki persegi) ini akan menjadi asas kepada strategi pertumbuhan kami yang seterusnya, meningkatkan kapasiti pengeluaran kami bagi melayani pangkalan pelanggan kami yang semakin berkembang dengan lebih baik.

“Selain itu, RM12.4 juta akan diperuntukkan untuk membeli mesin kawalan berangka komputer (CNC) baharu yang akan membolehkan kumpulan itu memenuhi jangkaan peningkatan dalam tempahan selain mengurangkan tempoh penghantaran kami dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran prospektus kumpulan itu di sini hari ini .

Lee berkata kehadiran Northeast Group kini melangkaui sempadan tempatan dengan lebih 70 peratus pendapatannya diperoleh daripada pasaran luar negara yang membuktikan kualiti mutu kerja dan pematuhan piawaian antarabangsa. 

Tambahan pula, beliau berkata kumpulan itu juga telah mempelbagaikan penawaran produknya untuk merangkumi spektrum industri yang lebih meluas seperti fotonik, elektrik dan elektronik, semikonduktor, telekomunikasi serta optoelektronik.

"Pertumbuhan dalam industri, ditambah dengan peningkatan dalam penyumberan luar kerja pembuatan, inisiatif kerajaan serta inovasi berterusan dalam pembangunan produk akan merangsang permintaan membabitkan pembuatan komponen kejuruteraan ketepatan pada tahun-tahun akan datang," kata Lee.

Berdasarkan prospektusnya, aktiviti perniagaan kumpulan itu kini dijalankan di tiga kilang yang terletak di Juru dan Bukit Minyak, Pulau Pinang, dengan jumlah keluasan binaan kira-kira 208,468.19 kaki persegi, yang mana semua ruang lantai pengeluaran telah habis digunakan.

Oleh itu, kumpulan itu berhasrat untuk membina kilang keempat bagi terus mengembangkan perniagaannya, mendapatkan tempahan tambahan dan meluaskan lagi pangkalan pelanggannya.

Pembinaan kilang baharu itu, yang boleh memuatkan kira-kira 200 unit mesin CNC, dijadualkan dimulai menjelang akhir tahun ini manakala operasi mungkin akan bermula pada suku pertama 2027.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan