AM

SANTUNI MADANI: KAMPUNG KUAK HULU BERPOTENSI SEBAGAI KAWASAN PELANCONGAN

26/09/2024 10:14 PM

GERIK, 26 Sept (Bernama) -- Kampung Kuak Hulu di Pengkalan Hulu berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, berkat pemandangan yang menakjubkan dan pelbagai lokasi menarik yang mengelilingi kawasan tersebut

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata beliau telah dimaklumkan oleh pegawai daerah bahawa beberapa acara menarik dianjurkan di kampung tersebut, termasuk perlumbaan rakit, pesta ikan loma, dan aktiviti mendaki bukit, di samping menyajikan pelbagai hidangan tradisional.

“Sejak kecil, saya sudah melihat keindahan kampung ini. Dengan pemandangan pergunungan yang menakjubkan dan suasana kampung tradisional yang sebenar, ia memberi kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang mengenali kehidupan di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kuak Hulu di Pengkalan Hulu, dekat sini hari ini.

Kampung Kuak Hulu kini didiami lebih 1,700 penduduk dari 349 keluarga. Sumber ekonomi penduduknya meliputi bidang pertanian, penternakan, perikanan, dan perniagaan, menjadikan kampung ini bukan sahaja kaya dengan budaya tetapi juga berdaya saing dalam pelbagai sektor.

Fadhlina menjelaskan bahawa Kampung Kuak Hulu dipilih untuk penganjuran program tersebut setelah melakukan penelitian mendalam oleh kementeriannya. Pertimbangan ini turut mengambil kira kedudukan demografi kampung yang terletak di utara Perak, selain ia merupakan kampung kelahiran ibunya yang sewajarnya mendapat perhatian.

“Saya percaya sudah tiba masanya untuk saya kembali dan memberikan khidmat bakti di sini, di mana ramai saudara-mara saya masih tinggal. Oleh itu, perkembangan dalam aspek ini menjadi pendorong bagi saya untuk memberikan yang terbaik kepada komuniti di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Fadhlina berkata berdasarkan libat urus dengan pihak berkaitan mengenai kampung itu hari ini, beliau dimaklumkan isu keciciran pendidikan dan kesihatan tidak membimbangkan setakat ini.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perak. Berdasarkan permintaan dan keperluan, khususnya yang berkaitan dengan infrastruktur, semua permohonan telah diluluskan.

“Kita berharap bahawa pemulihan infrastruktur ini akan memberikan manfaat kepada penduduk di Kampung Kuak Hulu, terutama dalam pembinaan gelanggang futsal, padang, titi, dan sekolah,” katanya.

Justeru, Fadhlina berkata secara keseluruhannya, isu-isu yang dibangkitkan dalam libat urus dengan penduduk hari ini akan ditangani secara berperingkat oleh semua agensi yang terlibat serta komuniti setempat.

Beliau juga menyebut tentang cadangan untuk menubuhkan bomba komuniti di kampung itu, dan pihak bomba telah memberikan jaminan sokongan dalam aspek latihan dan membantu proses pendaftaran.

“Insya-Allah, kita akan kembali untuk memastikan segala hasrat dan aspirasi dalam program Santuni MADANI ini akan mencapai kejayaan.

“Jadi, dalam tempoh tiga bulan akan datang, kita akan kembali semula untuk menilai perkembangan, khususnya berkaitan dengan projek-projek infrastruktur yang telah diluluskan. Kami juga akan melihat kembali kemajuan komuniti seperti yang telah dibincangkan tadi,” katanya.

Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) merupakan inisiatif Kerajaan MADANI yang bertujuan untuk meningkatkan potensi kampung serta keupayaan masyarakat. Program ini dilaksanakan melalui pemantauan secara langsung dan libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan masyarakat setempat.

Program ini berupaya memperkaya sikap peduli pemimpin untuk menyantuni penduduk serta menjadi suri teladan kepada kampung yang dipilih. Selain itu, program ini juga memupuk budaya "sense of belonging" dan kebanggaan dalam kalangan pemimpin terhadap kampung kelahiran masing-masing.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan