SUKAN

LTDL 2024: LALUAN PERINGKAT SATU LALUI PROSES PENURAPAN SEMULA

27/09/2024 11:30 AM

LANGKAWI, 27 Sept (Bernama) -- Sebahagian jalan membabitkan laluan Peringkat Satu Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 telah menjalani proses penurapan semula, kata Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2024 Emir Abdul Jalal.

Beliau berkata perlumbaan peringkat permulaan yang bermula di Kuah, akan mengelilingi Pulau Langkawi dan pulau itu kini sudah bersedia menerima pelepasan kayuhan 22 pasukan bertanding pada Ahad ini.

“Daripada segi persiapan kita dah capai 100 peratus bersedia, cuma sebelum ini ada isu laluan seperti di Jalan Teluk Yu, namun semalam kita lihat ia telah diturap. Saya rasa laluan (Peringkat Satu) semua dah cantik berbanding kita lihat sebelum ini.

“Yang paling penting sekali kerjasama pihak berwajib di Langkawi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) ini. Saya rasa laluan di sini (Langkawi) kini juga sudah bertambah baik berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Emir berkata sebahagian laluan tersebut membabitkan jarak sejauh 96.5 kilometer (km) sebelum ini difahamkan mengalami kerosakan, susulan hujan lebat yang berlaku beberapa minggu lepas.

Beliau berkata pihak penganjur juga sudah mempunyai pelan kontingensi, sekiranya berlaku perkara tidak diingini sepanjang perlumbaan terutamanya situasi cuaca tidak menentu ketika ini.

“Kalau dari segi cuaca, hujan atau panas kita tetap akan berkayuh. Cuma jika ada banjir atau tanah runtuh kita ada persiapan lain,” katanya.

Perlumbaan LTdL 2024 akan bermula di Langkawi untuk Peringkat 1, diikuti Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).

Sebanyak 22 pasukan menyertai perlumbaan berstatus ProSeries (2.Pro) dengan jarak keseluruhan 1,190 km, bermula 29 Sept di Pulau Langkawi dan buat kali pertama memasuki Miri dan Bintulu di Sarawak.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan