DUNIA

DUNIA MASIH DI BAWAH ANCAMAN NUKLEAR - MENTERI LUAR INDONESIA

27/09/2024 03:27 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 27 Sept (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi memberi amaran bahawa dunia masih berhadapan dengan ancaman kemusnahan nuklear, meskipun terdapat harapan global untuk masa depan yang lebih cerah.

"Pada masa ini, sebanyak 13,000 senjata nuklear masih dimiliki oleh beberapa negara, termasuk negara-negara yang berada di luar Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT)," kata Retno semasa Mesyuarat Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) sempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keseluruhan Senjata Nuklear yang ke-10.

Retno menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan dalam perjanjian kawalan senjata, peningkatan retorik agresif berkaitan nuklear, serta risiko yang dibawa oleh kemajuan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), yang semakin memperhebatkan bahaya yang dikaitkan dengan senjata nuklear.

"Kita harus bertanya kepada diri kita sendiri: Adakah ketakutan terhadap senjata nuklear mampu menjamin keamanan? Jawapan Indonesia adalah dan akan sentiasa tidak," tegas Retno, mengulangi komitmen teguh Indonesia terhadap penghapusan senjata nuklear di peringkat global.

Beliau turut menggesa negara-negara untuk memberi tumpuan kepada tiga tindakan utama, termasuk segera memulakan rundingan serius mengenai penghapusan senjata.

Retno menegaskan tindakan ini tidak boleh diabaikan dan beliau menekankan keperluan memperbaharui kehendak politik serta meningkatkan usaha bagi mencapai dunia yang bebas daripada senjata nuklear.

Menteri itu juga menegaskan keperluan menangani risiko yang ditimbulkan oleh teknologi baharu melalui peraturan yang kukuh bagi mencegah ancaman konflik nuklear yang semakin meningkat.

Di samping itu, beliau menekankan kepentingan memastikan legasi keamanan dengan mengutamakan perpaduan, kerjasama, dan komitmen untuk mengatasi perpecahan serta ketidakpercayaan.

“Pilihan yang kita buat hari ini akan menentukan masa depan dunia bagi generasi akan datang,” kata Retno mengakhiri ucapannya.

Indonesia menyerahkan Instrumen Pengesahan Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) kepada Setiausaha Agung PBB semasa Acara Triti pada hari Selasa lalu.

Setakat ini, sebanyak 93 negara menandatangani TPNW, dengan 73 daripadanya mengesahkan triti itu. Indonesia bersama lima lagi negara ASEAN iaitu Kemboja, Laos, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam, turut komited terhadap perjanjian ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan