AM

NGO DIMINTA BANTU ANJUR LEBIH BANYAK KARNIVAL KERJAYA - AHMAD ZAHID

27/09/2024 03:58 PM

KLUANG, 27 Sept (Bernama) -- Badan Bukan Kerajaan (NGO) diminta bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), untuk menganjurkan lebih banyak karnival kerjaya bagi meningkatkan peluang anak muda mendapat pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama itu, membolehkan padanan pekerjaan dilakukan bagi memastikan kemahiran anak muda disalurkan kepada syarikat tempatan, sekali gus membantu ekonomi sesebuah negeri.

“Di Johor ada zon ekonomi khas dan Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri menjalinkan kerjasama melibatkan TalentCorp, supaya terdapat kesepadanan yang diperlukan majikan dengan kemahiran yang diperlukan oleh pekerja berkenaan di kawasan zon istimewa ini.

“Kita tidak mahu Malaysia dilambakkan dengan pekerja umum, kita mahu menjadi sebuah negara maju dan antara negeri yang menyambut pelaburan asing teramai dan domestic direct investment ialah Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Gegar Jejak Kerjaya MyFutureJobs Orang Mahkota 2024, bersama Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (Hawa Malaysia) di Bazaar Uptown Kluang di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta Pengerusi Hawa Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sekali lagi menegaskan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah, tidak pernah mempunyai kes jenayah atau pernah dituduh di mahkamah.

Beliau berkata Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar juga telah mengesahkan perkara itu kepada beliau pagi tadi.

“Janganlah dengar orang-orang yang kecewa...yang mungkin calonnya kurang baik berbanding Syed Hussien, (sehingga) hendak mengatakan Syed Hussien macam-macam. Jadi sama-sama kita doakan mudah-mudahan calon kita menang,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid telah menafikan dakwaan pembangkang berhubung dakwaan kes jenayah melibatkan Syed Hussien, dan menyifatkan ia perbuatan pihak ketandusan isu selain mahu menarik keyakinan pengundi terhadap calon BN. 

Ahmad Zahid berkata kejadian sebenar yang berlaku ialah Syed Hussien yang berusia dalam lingkungan 20-an semasa itu, mahu membantu orang buta yang diganggu dan dipukul sekumpulan lelaki.

PRK DUN Mahkota esok, melibatkan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata program yang berlangsung dua hari bermula semalam itu, menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk daerah ini dalam pelbagai bidang, dengan penyertaan 30 majikan.

Beliau berkata penganjuran program seumpamanya juga akan diteruskan di lokasi lain, kerana ia dapat mengurangkan kadar pengangguran dan membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat Malaysia.

“Kalau dahulu, kita yang perlu mencari pekerjaan melalui surat khabar dan sebagainya, tetapi hari ini di bawah Kerajaan MADANI, kita turun dalam program seperti MyFutureJobs untuk mencari orang-orang yang mahu bekerja,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan