JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM PULAU PINANG PATAH 240 KES SELUDUP, RAMPAS LEBIH RM28 JUTA

27/09/2024 03:27 PM

BUTTERWORTH, 27 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mematahkan 240 kes penyeludupan dan cubaan menyeleweng duti kastam dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas melibatkan rampasan berjumlah lebih RM28 juta termasuk cukai.

Pengarah JKDM negeri Datuk Roselan Ramli berkata rampasan rokok adalah paling tinggi melibatkan 107 kes bernilai RM2.7 juta dengan jumlah cukai RM9.28 juta, diikuti minuman keras sebanyak 81 kes melibatkan nilai RM1.739 juta dan cukai sebanyak RM6.64 juta.

“JKDM Pulau Pinang juga memperoleh empat kes dadah bernilai RM1.013 juta manakala 39 kes kenderaan berjaya dikesan melibatkan nilai RM1.664 juta serta cukai RM2.56 juta,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.

Roselan berkata pihaknya turut memperoleh empat kes mata wang bernilai RM473,971.69 dan lain-lain kes seperti tembakau dan minuman bergula yang melibatkan jumlah nilai RM1.68 juta, melibatkan cukai RM704,992.73.

Sementara itu, beliau turut meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki warga India dikenali sebagai Mohamed Basith Mohamed Rafi, 42, selepas dia gagal hadir ke mahkamah bagi pendengaran keputusan berkaitan kes memiliki 178,000 batang rokok putih bernilai RM133,148.40 termasuk duti kastam.

Beliau berkata Orang Kena Tuduh (OKT) yang masuk ke negara ini sejak 2017 sebagai buruh binaan itu telah dituduh pada 2021 dan dilepaskan sementara dalam jaminan mahkamah, namun gagal hadir sebanyak tiga kali pada tarikh-tarikh ditetapkan untuk keputusan kes.

“Majistret yang menggunakan peruntukan Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah kemudian telah menjatuhkan hukuman penjara 28 bulan bagi kedua-dua pertuduhan terhadap OKT, selain melucut hak wang jaminan daripada dua penjamin pada tarikh yang sama,” katanya.

Roselan berkata pihaknya percaya individu terbabit masih berada di Malaysia memandangkan pasport miliknya berada dalam pegangan mahkamah, sehubungan dengan itu orang ramai yang mempuyai maklumat mengenai lelaki berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Penguasa Kastam Yusof Mohamed Salleh menerusi talian 013-534 1032.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan