JENAYAH & MAHKAMAH

MANGSA KEDUA KEJADIAN HANYUT AKIBAT ARUS DERAS KETIKA BANJIR DITEMUKAN LEMAS

29/09/2024 02:11 PM

ALOR SETAR, 29 Sept (Bernama) -- Wanita yang dilaporkan hilang selepas hanyut dibawa arus deras bersama anak lelakinya di Kampung Tanjung Kanan dekat Kuala Nerang semalam, ditemukan lemas pada 7.45 pagi ini.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata mayat Salmah Mat Zain, 46, ditemukan 50 meter dari lokasi mayat anaknya Muhammad Rosman Rohadi, 19, ditemukan semalam.

Beliau berkata pagi ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada pukul 7.28 pagi dan semasa pemantauan awal dilakukan di lokasi, petugas operasi menemukan mayat wanita itu di sekitar kawasan ladang sawit berkenaan.

"Mayat telah diserahkan kepada polis pada pukul 7.50 pagi untuk tindakan lanjut dan operasi telah ditamatkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi semalam dua beranak berkenaan dilaporkan hilang selepas dikatakan hanyut ketika meredah arus deras ketika banjir di Kampung Tanjung Kanan.

Mayat Muhammad Rosman yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran ditemukan pada pukul 5.25 petang semalam kira-kira 150 meter dari lokasi dua beranak itu hilang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar yang ditemui di lokasi kejadian pagi ini menasihatkan penduduk di daerah berkenaan supaya tidak cuba mengharungi banjir jika kawasan kediaman mereka dinaiki air.

"Kita tidak tahu apa yang ada di bawah air dan kita tidak mahu peristiwa seperti ini berulang," katanya.

Beliau berkata operasi mencari dua beranak itu melibatkan 30 anggota daripada JBPM Kedah termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Jitra, selain 25 pegawai dan anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap serta penduduk kampung.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan