AM

MELAKA PROMOSI SEMULA KUPANG, KERANG TINGKAT KEYAKINAN ORANG RAMAI

29/09/2024 03:37 PM

JASIN, 29 Sept (Bernama) -- Kerajaan Melaka menerusi Jabatan Perikanan negeri giat mempromosikan kupang dan kerang dalam usaha mengembalikan keyakinan orang ramai bahawa hasil akuakultur itu kini selamat dimakan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan negeri itu telah ditarik awal bulan lepas berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.

Beliau berkata promosi itu akan dilaksanakan di seluruh negeri secara berperingkat antaranya di pasar tani menerusi Program Rasa-Rasa Akuakultur, Promosi Makan Kupang dan Kerang sekali gus mengangkat hasil akuakultur itu sebagai tarikan kepada pelancong tempatan dan luar negara.

“Kupang yang dipromosikan merupakan hasil akuakultur dari perairan Melaka iaitu di Sebatu dan ia lebih dikenali sebagai ‘kupang manis’ di samping hasil kerang juga adalah menerusi program yang kita jalankan bersama nelayan.

“Kajian yang dilakukan mendapati kupang di kawasan berkenaan adalah paling sedap dan manis, malah permintaan terhadap hasil akuakultur itu sangat tinggi sebelum isu pencemaran biotoksin berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Program Rasa-Rasa Akuakultur, Promosi Makan Kupang dan Kerang di Pasar Tani Merlimau di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perikanan Melaka Saufi Affandi Talib.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata permintaan terhadap kupang dan kerang di perairan tersebut dijangka pulih dan meningkat dalam masa terdekat.

Terdahulu, beliau berkata sebanyak 120 kilogram (kg) kerang dan 100 kg kupang yang dimasak dalam pelbagai hidangan seperti kerang kukus, kerang bakar, kupang kukus serta kuetiau kerang telah diagihkan kepada kira-kira 2,000 pengunjung.

Sementara itu, pengunjung, Mohd Ismail Mahad, 46, dari Kampung Kilang Berapi berkata sebagai peminat tegar kupang dan kerang, beliau gembira larangan tersebut ditarik semula.

“Lama juga saya tidak makan kupang dan kerang disebabkan larangan berkenaan kerana risau kesihatan terjejas disebabkan isu pencemaran yang berlaku. Hari Raya Aidilfitri lepas pun tidak dapat masak hidangan rendang kerang,” kata kakitangan sektor swasta itu.

Seorang lagi pengunjung yang juga peminat kupang, Rohana Deraman, 38, dari Merlimau Pantai turut menzahirkan rasa syukur kerana dapat menikmati semula juadah itu. 

Beliau juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati hidangan kupang kukus yang diagihkan kepada orang ramai pada program tersebut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan