AM

MANGSA BANJIR DI KEDAH TERUS MENINGKAT

29/09/2024 04:33 PM

ALOR SETAR, 29 Sept (Bernama) -- Mangsa banjir di Kedah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mencecah 765 orang daripada 253 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 451 orang daripada 160 keluarga pagi tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa dari daerah Pokok Sena dan Kubang Pasu itu, ditempatkan di tujuh PPS.

Pokok Sena mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 473 orang daripada 147 keluarga, yang ditempatkan di empat PPS iaitu Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Nurul Iman Batu 14 Jalan Lampam.

Di Kubang Pasu pula, seramai 292 orang daripada 106 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Dewan Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.

Sementara itu, PPS Masjid Aisyah Kampung Tanjung Kanan yang dibuka di daerah Padang Terap dan menempatkan seramai 49 orang daripada18 keluarga sebelum ini, telah ditutup sepenuhnya tadi.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 4 petang ini paras Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar; serta Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap telah melebihi paras bahaya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan