JENAYAH & MAHKAMAH

PELAJAR LEMAS KETIKA CUBA SELAMATKAN RAKAN

29/09/2024 05:17 PM

KUANTAN, 29 Sept (Bernama) -- Kegembiraan sekumpulan pelajar kolej menghabiskan cuti hujung minggu di kawasan perkelahan Pasir Puteri, Sungai Lembing di sini hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa, Muhammad Amirul Fahmie Saiful,18, dikatakan pergi ke lokasi itu sekitar 8.30 pagi selepas mendaki Bukit Panorama, di sini bersama lima rakannya masing-masing dua lelaki dan tiga wanita. 

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila Muhammad Amirul Fahmie cuba menyelamat dua rakan wanitanya yang dihanyutkan arus di lokasi kejadian. 

"Kedua-dua rakan wanita mangsa berjaya dibawa ke tebing dengan dibantu rakan lelaki, bagaimanapun mangsa didapati hilang dan dikhuatiri lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Susulan itu, beliau berkata operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan melibatkan anggota bomba, orang awam dan rakan mangsa. 

“Selepas sejam, mangsa ditemukan pada kedalaman 1.5 meter di lokasi berhampiran dia dilihat kali terakhir dan tidak sedarkan diri dipercayai lemas,” katanya. 

Wan Mohd Zahari berkata petugas kesihatan yang tiba di lokasi mengesahkan Muhammad Amirul Fahmie meninggal dunia pada 12.20 tengah hari dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan