AM

LEBIH 300,000 RUMAH MAMPU MILIK DIBINA SETAKAT JUN

29/09/2024 07:54 PM

IPOH, 29 Sept (Bernama)  -- Sebanyak 346,417 unit rumah mampu milik (RMM) atau 69.3 peratus daripada sasaran 500,000 unit di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah siap dibina setakat 30 Jun lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M Noor Azman Taib berkata pembinaan hasil kerjasama agensi perumahan di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pemaju swasta dengan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) merupakan agensi penyumbang utama.

"Bagi membentuk komuniti sejahtera, harmoni dan selamat serta mempunyai akses kepada kemudahan awam, Dasar Perumahan Mampu Milik Negara telah dibangunkan dengan sasaran penyediaan RMM dan berkualiti di seluruh negara yang mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat menjelang 2028. 

"Semua pihak berkepentingan dalam pembekalan perumahan mampu milik termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju hartanah swasta harus bertindak secara bersepadu bagi memastikan keseimbangan dalam pasaran hartanah serta memajukan perumahan mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran GIGA PR1MA Homes yang berlangsung selama dua hari sejak semalam di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, M Noor Azman berkata PR1MA memiliki 88 projek di seluruh negara menerusi pelbagai  fasa pembinaan merangkumi 54,137 unit dengan 40,686 daripadanya telah dijual setakat 30 Ogos lepas.

Beliau berkata di Perak terdapat 15 projek PR1MA meliputi 7,631 unit kediaman dengan 679 unit sedia untuk dijual.

Kempen GIGA PR1MA Homes, katanya merupakan antara kempen pemilikan rumah terbesar dengan menawarkan 2,785 unit kediaman termasuk 679 unit di Perak. 

"Kempen ini akan meningkatkan kesedaran awam mengenai projek-projek PR1MA dan memudahkan pembiayaan perumahan melalui insentif serta promosi istimewa yang ditawarkan, menjadikan kediaman PR1MA bukan sahaja mampu milik tetapi juga menarik dan berbaloi untuk dimiliki," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan