MELAKA, 23 Nov (Bernama) -- Pembinaan MTD Nexus 28 Industrial Park yang berkonsepkan premis perindustrian moden dan canggih bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi di Melaka, khususnya menarik lebih ramai pelabur dari luar dan dalam negara.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD Reime Rizal Abdul Aziz berkata pembinaan 86 unit kilang moden di lokasi strategik iaitu Taman Tasik Utama, Ayer Keroh mampu menjadi elemen penting menarik pelabur, kerana ekosistem projek berkenaan dibina bersandarkan konsep perniagaan dan perusahaan masa hadapan.
Beliau berkata projek hartanah terbaharu berkenaan akan membangunkan 46 unit kilang semi-D satu setengah tingkat, dan 40 unit kilang teres satu setengah tingkat di kawasan komersial dan perumahan yang matang di Taman Tasik Utama.
“Selain lokasinya yang strategik, penyediaan struktur pemasangan sistem solar PV, sistem infra pintar dan sistem penuaian air hujan juga akan memberi nilai tambah, kerana elemen-elemen ini adalah antara pendorong utama pelabur dalam mencari premis bagi menjalankan perusahaan mereka.
“Projek ini juga tidak ketinggalan memperkasakan pembangunan lestari yang bukan sahaja melonjakkan ekonomi setempat dan negeri, tetapi membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada komuniti setempat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Terdahulu, Reime Rizal menyempurnakan prapelancaran MTD Nexus 28 Industrial Park yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi (COO) MTD Properties Dr Nik Fauzan Nik Faizul, di pejabat jualan dan galeri MTD Properties Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau berkata projek di atas tanah seluas 2.472 hektar itu bakal siap sepenuhnya menjelang 2027, sekali gus melengkapkan pencapaian MTD Properties dalam pasaran hartanah di Melaka, yang turut merangkumi projek pembinaan rumah iaitu Fasa 23 Cinerea Height yang kini mencatatkan lebih 80 peratus unit terjual, walaupun projek masih berjalan.
“MTD Nexus 28 ini sebagai kit permulaan, namun kita percaya ia mampu mencerminkan kredibiliti MTD Properties dalam pembinaan premis berkaitan industri, dan sudah pasti kita mempunyai harapan yang sangat besar projek ini menjadi inspirasi kepada projek lain.
“Sebagai pemaju hartanah yang telah beroperasi lebih tiga dekad, sudah tentu tumpuan MTD Properties bukan saja kepada pembangunan fizikal, tetapi selari dengan pelan tindakan pembangunan kerajaan negeri dalam membangunkan komuniti yang mampan, berteknologi hijau dan kualiti hidup lebih baik, selain projek yang kami laksanakan berjalan lebih sistematik dan memenuhi permintaan pelabur,” katanya.
Dalam pada itu, MTD Properties juga akan meneruskan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat terutama penduduk di Taman Tasik Utama, dengan setakat ini seluas 65.761 hektar tanah telah disediakan dan dibangunkan bersama kerajaan tempatan seperti sekolah menengah, rendah dan agama, masjid, kawasan hijau seluas 8.09 hektar, taman rekreasi dan loji kumbahan berpusat.
-- BERNAMA