AM

TUN M SOKONG KEPUTUSAN ICC

23/11/2024 08:30 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Nov (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  menyokong keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza.

Menyifatkan ia sebagai tindakan wajar, Dr Mahathir berkata kedua-dua pemimpin Israel itu adalah penjenayah perang yang telah melakukan pembunuhan terhadap rakyat Palestin dan patut dihukum.

“Ini penjenayah perang. Dia (Netanyahu dan Gallant) adalah penjenayah. Dia (Netanyahu dan Gallant) telah melakukan pembunuhan. Pembunuhan satu orang pun adalah jenayah (tetapi) dia telah membunuh 44,000 orang Islam. Ini penjenayah besar, yang patut dihukum gantung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2024 di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan keputusan ICC dan menyifatkan tindakan badan kehakiman dunia itu adalah berlandaskan hukum, bukti tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan oleh rejim Zionis berkenaan.  

ICC pada Khamis mengumumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.

Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel terhadap Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan