ISKANDAR PUTERI, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor menerusi Ranhill SAJ Sdn Bhd merancang membangunkan empat Loji Rawatan Air (LRA) baharu dengan kos kira-kira RM1.41 bilion bagi memenuhi permintaan bekalan air industri pusat data di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata LRA baharu yang akan dibina di Kulai, Johor Bahru dan Pontian itu bertujuan memastikan bekalan air domestik sedia ada tidak terganggu.
“Pembinaan ini melibatkan dua LRA di Kulai iaitu LRA Semangar berkapasiti 50 juta liter sehari (JLH) dengan kos RM70 juta dan LRA Semangar 3 berkapasiti 200 JLH dengan kos RM990 juta.
“Dua lagi LRA ialah LRA Layang 2 Fasa 2 berkapasiti 160 JLH dengan kos RM200 juta di Johor Bahru dan LRA Kayu Ara Pasong berkapasiti 90 JLH dengan kos RM150 juta di Pontian,” katanya ketika menjawab soalan Haslinda Salleh (BN-Tenang) mengenai langkah kerajaan negeri mengatasi gangguan bekalan air, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Pada 29 Okt lepas, Menteri Digital Gobind Singh Deo dilaporkan berkata terdapat lebih 50 pusat data yang sedang dalam permohonan, dalam pembinaan atau sudah beroperasi di Johor setakat ini berikutan rancangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ).
Sementara itu, Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pasir berkata Johor telah menggantikan paip air baharu sepanjang 76.5 kilometer (km) di tujuh daerah sejak Januari lepas.
“Penggantian paip air baharu di Pontian melibatkan jarak sepanjang 24.1 km, diikuti Johor Bahru (19.2 km), Segamat (14.4 km), Batu Pahat (6.5 km), Muar (6.2 km), Kluang (5.9 km) dan Kota Tinggi (0.2 km).
“Untuk makluman, sepanjang 1,690.49 km paip air lama telah digantikan sejak 2010. Bagaimanapun, penukaran keseluruhan paip lama tidak dapat dibuat dalam tempoh masa tertentu kerana melibatkan jaringan paip yang luas,” katanya.
-- BERNAMA