JENAYAH & MAHKAMAH

PEKERJA BANK DITIPU, JADI 'ORANG SURUHAN' SINDIKET PENIPUAN TELEFON

26/11/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Nasib seorang pekerja bank wanita di sini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan sahaja terpaksa menjadi ‘orang suruhan’ sindiket penipuan telefon malah hampir ke lokap selepas ditahan polis. 

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan selepas seorang mangsa sindiket tersebut membuat laporan polis pada 28 Okt lalu kerana ditipu hingga kerugian RM138,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa mendakwa menerima panggilan daripada sebuah syarikat e-dagang kononnya nombor telefonnya digunakan dalam penjualan barangan terlarang.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada beberapa individu menyamar sebagai polis yang mengarahkannya memindahkan wang RM38,000 ke akaun diberikan dan menyerahkan RM100,000 secara tunai kepada seorang individu yang datang bersemuka dengannya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata hasil siasatan terhadap aduan lelaki itu membawa kepada penahanan pekerja bank wanita berkenaan yang dikenal pasti telah berjumpa dengannya untuk transaksi secara bersemuka.

Bagaimanapun, Ramli berkata siasatan lanjut terhadap wanita itu mendapati dia juga mangsa sindiket sama dan telah diarah berjumpa lelaki tersebut manakala kesemua wang tunai RM100,000 telah dipindahkan ke dalam empat akaun bank seperti diarahkan sindiket.

“Wanita terbabit dihubungi sindiket phone scam sejak Ogos lepas dan diarah melapor diri setiap tiga jam kepada sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa selain diminta membuat pinjaman bank sebanyak RM89,000 dan dimasukkan ke akaun bank ditetapkan sindiket,” katanya.

Beliau berkata wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai dan kini sedang giat mengenal pasti ahli sindiket berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata 11 individu termasuk dua wanita ditahan berkait penipuan skim pelaburan mata wang kripto Gigamax membabitkan kerugian RM7.25 juta menerusi Operasi Nuri (Op Nuri) - Gigamax di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Melaka, 13 Nov lepas.

Ramli berkata antara suspek ditahan termasuk tertinggi sebuah akademi pelaburan yang juga badan bukan kerajaan yang terlibat memperkenal dan mempromosi Gigamax, platform yang berfungsi sebagai broker mata wang kripto  sejak awal Julai 2022. 

“Bagaimanapun, setelah kira-kira setahun beroperasi platform terbabit tidak lagi dapat diakses dan semua pengeluaran keuntungan telah tergendala. Ekoran itu pelabur membuat laporan polis,” katanya.

Ramli berkata sejak 27 Jun 2023 hingga kini, sebanyak 101 laporan polis telah diterima berkait platform itu membabitkan kerugian keseluruhan RM7,259,136 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan