BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 DUNIA

BURSA MALAYSIA TERUSKAN MOMENTUM MENINGKAT PADA TENGAH HARI

27/11/2024 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum peningkatannya pada tengah hari Rabu walaupun pasaran serantau mencatat prestasi kurang memberangsangkan ketika pelabur mengalihkan tumpuan terhadap pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) lewat malam ini.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 5.05 mata kepada 1,608.20 daripada paras penutup 1,603.15, semalam.

Sewaktu pasaran dibuka, indeks penanda aras itu susut 1.81 mata kepada 1,601.34 dan seterusnya bergerak dalam julat 1,601.34 hingga 1,608.98 sepanjang sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 437 berbanding 422 manakala 489 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,109 tidak diniagakan dan 44 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.9 bilion unit bernilai RM1.3 bilion.

Seorang peniaga berkata sentimen optimis mengenai prospek pelaporan pendapatan domestik, membantu melonjakkan minat terhadap saham-saham tempatan menjelang pengumuman data inflasi, Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS dengan unjuran semasa menjangkakan peningkatan, sekali gus mencetuskan rasa berhati-hati di peringkat serantau.

Bagaimanapun, minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS ternyata meredakan beberapa kebimbangan ini apabila mesyuarat pada November mendedahkan kewajaran bergerak secara beransur-ansur ke arah pendirian dasar lebih neutral pada masa akan datang sekiranya data-data ekonomi sejajar dengan jangkaan awal.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi YTL Power meraih 21 sen kepada RM3.31, YTL Corp menokok 10 sen pada RM2.05, IOI Corp naik tujuh sen to RM3.87, Petronas Dagangan melonjak 36 sen kepada RM19.46 manakala Maybank untung enam sen kepada RM10.28.

Bagi saham aktif, Genetec Technology melonjak 20.5 sen kepada RM1.08, MBSB naik 1.5 sen kepada 74 sen, JCY International meraih lima sen kepada 40.5 sen, Globetronics untung 4.5 sen kepada 57.5 sen dan Iconic Worldwide meraih satu sen kepada 11 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 36.75 mata kepada 12,207.70, Indeks FBMT 100 menokok 32 mata kepada 11,290.58, Indeks FBM Emas Shariah turun 3.78 mata kepada 12,126.58, Indeks FBM 70 menambah 28.53 mata kepada 17,919.38 manakala Indeks FBM ACE meraih 34.29 mata kepada 5,173.54.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 91.02 mata kepada 19,290.58 dan Indeks Tenaga meningkat 3.22 mata kepada 824.35.

Selain itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.14 mata kepada 172.18 manakala Indeks Perladangan merosot 49.88 mata kepada 7,482.74.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan