BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
GEORGE TOWN, 27 Nov (Bernama) -- Beras Cap Feri keluaran kerajaan Pulau Pinang akan mula dijual di Jualan Agro MADANI Pertubuhan Peladang, bulan depan pada harga RM15 bagi kampit lima kilogram (kg).
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata Beras Cap Feri menggunakan beras import dan harga yang ditawarkan itu adalah yang termurah di pasaran bagi kategori berkenaan.
Beliau berkata beras ini sedia dipasarkan selepas menerima kelulusan lesen pengoperasian kilang dan borong daripada Bahagian Kawal Selia Padi Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 13 Nov lepas setelah hampir enam bulan memohon.
“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merupakan agensi yang akan memasarkan Beras Cap Feri melalui Jualan Agro MADANI dan juga di premis peruncitan FAMA dan Peladang di negeri ini,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 dan Usul Anggaran Pembangunan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Fahmi berkata kerajaan negeri dalam perbincangan bersama LPP bagi menjayakan kerjasama estet padi yang akan diusahakan sepenuhnya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), melibatkan kawasan berkeluasan 43.89 hektar bagi menjamin hasil padi dijual terus ke kilang pengeluaran Beras Cap Feri.
Beliau berkata anak syarikat kerajaan negeri, Penang Agrotech Sdn Bhd akan mula beroperasi pada 1 Jan dan penubuhannya diharap dapat membantu menjana pendapatan baharu untuk Pulau Pinang.
"Penang Agrotech bertindak sebagai pelaksana dan penyelaras perancangan, program dan aktiviti di bawah Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersama-sama jabatan lain di bawah portfolio itu,” katanya.
Sementara itu Fahmi berkata teknologi Internet Benda (IOT) akan diaplikasikan di kebun-kebun durian menerusi kerjasama Penang Agrotech dengan Jabatan Pertanian Negeri, penyelidik dan persatuan pekebun bagi membantu pengusaha mengurangkan kos, sekali gus meningkatkan hasil durian berkualiti tinggi.
“Sistem pemantauan ladang IOT ini dimulakan di sebuah kebun durian di Balik Pulau dan data digital yang dikumpulkan digunakan untuk memanfaatkan pengusaha dengan mengoptimumkan sumber air, baja serta racun perosak,” katanya.
Menyentuh sektor agropelancongan, beliau berkata projek Sedusun Valley di Relau dekat sini yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dijangka bermula awal 2025 dengan perbelanjaan RM48 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan.
Fahmi berkata kerajaan negeri juga memohon peruntukan khas daripada KPKM untuk membangunkan sektor agropelancongan di Stesen Padi Bukit Merah, Permatang Pauh dan Taman Herba Bertam, Kepala Batas.
-- BERNAMA