BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
JOHOR BAHRU, 27 Nov (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki ang disyaki membuat ugutan dengan perbuatan khianat menggunakan api ke atas kediaman mereka yang meminjam wang daripada ceti haram atau Along, yang gagal melunaskan pinjaman.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata semua suspek berumur 15 hingga 20 tahun itu ditahan di sekitar daerah Johor Bahru dan Pontian pada 15 dan 16 Nov lepas.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menerima upah kira-kira RM1,000 daripada sindiket Along bagi setiap ugutan atau perbuatan khianat yang dilakukan, dan kumpulan ini didapati aktif menjalankan kegiatan mereka di Johor sejak Okt lepas, khususnya sekitar sini.
“Sindiket pinjaman wang ini akan mengiklankan tawaran pinjaman di media sosial dengan menggunakan kapsyen ‘Pinjaman Wang Berlesen Singapura’ bagi memperdaya mereka yang berminat,” katanya dalam kenyataan hari ini
Kumar berkata sindiket ini biasanya akan bertindak memasukkan sejumlah wang di akaun bank mereka yang berminat membuat pinjaman, walaupun belum ada persetujuan ketika itu, dan penerima wang berkenaan akan dipaksa membuat bayaran balik dengan kadar faedah yang tinggi.
“Kebanyakan mangsa adalah penduduk tempatan yang bekerja di Singapura, dan dengan tertangkapnya suspek, polis telah berjaya menyelesaikan sembilan kes dengan modus operandi yang sama,” katanya.
-- BERNAMA