BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Tuan Mohd Zakaria Tuan Ismail yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Kelantan, awal pagi ini.
Menerusi catatan di laman Facebook, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan terutama ketika berada di kawasan banjir atau berdekatan dengan peralatan elektrik yang mungkin terjejas akibat banjir.
"Saya dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya.
Insiden pada kira-kira 4.30 pagi itu menyaksikan mangsa, yang juga mekanik, meninggal dunia di lokasi kejadian dan ditemukan berhampiran rumahnya.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata kerajaan akan terus memberikan perhatian kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh langkah kesiapsiagaan bencana bagi memastikan tragedi seperti itu tidak berulang.
Menerusi hantaran berasingan, beliau sekali lagi meminta mereka yang berada di kawasan berisiko banjir agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
"Sekiranya diminta untuk berpindah oleh pihak berkuasa, patuhilah arahan tersebut tanpa berlengah. Tindakan ini adalah untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku dan memudahkan operasi menyelamat sekiranya keadaan bertambah buruk.
"Saya juga ingin mengingatkan agar menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diakses, mematikan peralatan elektrik dengan segera untuk mengelakkan sebarang risiko bahaya dan sentiasa memantau kawasan-kawasan berisiko untuk keselamatan bersama," katanya.
-- BERNAMA