BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 AM

BANJIR: ANAK SELAMATKAN IBU HIDAP ASMA GUNA TANGKI AIR

28/11/2024 12:14 AM

KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Kasih seorang anak mendorong seorang pemuda berikhtiar mencari tangki air polietilena untuk digunakan mengangkut ibunya yang menghidap asma selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Sri Kulim, Melor, di sini hari ini.

Mohammad Shaher Rahalim, 33, berkata bersama beberapa rakan dia mengambil inisiatif mencari tangki air bagi mengangkut keluar ibu, Rosliza Ibrahim, 58, yang kesejukan akibat rumah mereka dimasuki air sedalam dua meter.

“Ibu menghidap asma sejak 20 tahun lepas dan dia tidak boleh berada dalam keadaan kedinginan.

“Saya berusaha menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bot penyelamat namun selepas menunggu lebih dua jam dan melihat keadaan ibu semakin serius, saya serta rakan mencari ikhtiar bagi membawanya keluar," katanya kepada Bernama. 

Anak sulung itu berkata sebaik diselamatkan dan berjumpa semula dengan adik, Nur Shasabila, 26, mereka menunggu pula bapa, Rahalim Ismail, 61, yang dibawa keluar dengan bot penyelamat Jabatan Pertahanan Awam.

Mohamad Shaher berkata walaupun ibu bapanya sudah dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, mereka masih tidak dapat mendaftar kerana jumlah mangsa banjir sudah terlalu ramai di PPS tersebut.

"Kami kemudian memutuskan untuk membawa ibu bapa ke rumah saya di Kampung Alor Bakat bagi membolehkan mereka berehat dengan lebih selesa dan kesihatan terjaga," katanya.

Dia juga bercadang untuk mendaftarkan ibu bapanya di mana-mana PPS berdekatan esok. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan