EKONOMI

PKS RAIH MANFAAT CISCE DI BEIJING

28/11/2024 12:00 PM

Daripada Syamsiah Sahat

BEIJING, 28 Nov (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menyifatkan penganjuran Ekspo Rantaian Pembekalan Antarabangsa China (CISCE) di sini membuka mata untuk bersedia dari segi segmen pemasaran syarikat pada masa depan serta memanfaatkannya untuk mencari ruang rantaian bekalan perniagaan.

Presiden Persatuan Kelestarian Perniagaan Kecil dan Sederhana Kinta (KPKS) Perak Ooi Kah Biew berkata ekspo berkenaan telah memberikan inspirasi, pendidikan dan peluang untuk membawa PKS tempatan melangkaui apa yang disasarkan.

“Ini membuka mata kami. Semoga kita dapat membawa semula beberapa teknologi mereka ke negara kita. Ia adalah sebahagian daripada matlamat KPKS hadir ke ekspo ini,” katanya kepada Bernama.

KPKS Perak sedang dalam lawatan ke China mulai 23-28 November bagi mencari peluang kerjasama dengan PKS di negara itu serta sebagai inisiatif untuk memastikan PKS tempatan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

Lawatan berkenaan turut disertai Naib Presiden KPKS Tan Boon Chye, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Cheah Pou Hian, Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Aktiviti dan Program PKS DUN Jelapang Shum Khee Khee serta pengusaha PKS Perak.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hurm Burg Marketing (M) Sdn Bhd Yong Wai Meng yang menyertai lawatan itu berkata ekspo berkenaan penting memandangkan beliau berpeluang mengumpul maklumat mengenai teknologi kenderaan elektrik (EV) yang dipamerkan. 

"Sebagai syarikat pengeluar komponen automotif, ekspo ini sangat membantu untuk mendapatkan maklumat sebagai persediaan syarikat pada masa depan. 

"Seperti kita tahu, negara sedang bergerak ke arah penggunaan EV. Antara yang dipamerkan adalah peralihan daripada kabel tradisional kepada fiber optik dalam pembangunan EV, dan ini sangat membantu dalam segmen perniagaan saya kelak," katanya. 

Cheah pula mengalu-alukan PKS untuk memanfaatkan ekspo bertaraf antarabangsa ini bagi memahami arah kemajuan teknologi terkini dan masa depan. 

"Dengan itu, PKS boleh mengenal pasti atau menyesuaikan pelan induk dan arah aliran masa depan masing-masing. Ia merupakan satu sesi membuka mata, terutamanya tenaga hijau, pengilangan pintar, hidrogen hijau fotovoltaik dan sistem pemeriksaan optik automatik," katanya. 

CISCE edisi ke-2 kali yang berlangsung selama lima hari bermula 26 sehingga 30 November menyaksikan penyertaan lebih 620 perusahaan, institusi dan organisasi antarabangsa, dengan peningkatan 20 peratus berbanding edisi pertama. 

CISCE kali ini turut disertai 69 negara dan wilayah dengan jumlah pempamer antarabangsa turut meningkat berbanding edisi lepas.

Ekspo itu menyediakan platform untuk membantu pempamer mendapatkan rakan kongsi dalam rantaian bekalan terbaik di dunia.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan