JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS NASIHAT ORANG RAMAI TIDAK BAWA ANAK KECIL PANTAU PARAS AIR SUNGAI, JANGAN JADIKAN PESTA

29/11/2024 12:40 PM

KOTA BHARU, 29 Nov (Bernama) -- Polis menasihatkan orang ramai yang berhasrat membuat tinjauan paras air Sungai Kelantan di Tambatan D'Raja di sini agar sentiasa berwaspada dan tidak membawa anak kecil semasa membuat tinjauan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penduduk tempatan sering menjadikan amalan memantau paras air sungai itu sebagai acara tahunan di musim tengkujuh, dan beliau mengingatkan bahawa dengan hanya kesilapan sedikit saja, ia boleh menyebabkan kecelakaan.

“Nasihat saya jangan bawa anak-anak kecil ke kawasan dinaiki air semata-mata untuk melihat keadaan paras air sungai, kita tidak mahu banjir yang melanda Kelantan sekarang dijadikan sebagai “pesta” bermain air walaupun di kawasan cetek berhampiran rumah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata selain terdedah bahaya dihanyutkan arus, mereka juga terdedah kepada kemungkinan digigit haiwan berbisa yang ada di dalam air.

"Polis akan menjalankan rondaan bagi menasihatkan orang ramai agar tidak bermain air dan menjadikan musim banjir sebagai pesta,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan