JENAYAH & MAHKAMAH

TIDAK MUNASABAH SYED SADDIQ TIDAK TAHU WANG RM1 JUTA KELUAR DARIPADA AKAUN ARMADA - HAKIM

29/11/2024 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa adalah tidak munasabah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai pemimpin sayap parti politik ketika itu, tidak mengetahui tentang pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid berkata keterangan Ahli Parlimen Muar itu bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang penyimpanan dan kegunaan wang berkenaan adalah sesuatu yang sukar diterima akal.

“Mahkamah berpandangan bahawa tindakan tertuduh selaku Ketua Armada dan juga seorang pemegang amanah untuk akaun Armada dalam mengarahkan pengeluaran wang tunai sebanyak RM1 juta daripada akaun Armada tanpa kelulusan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merupakan kesalahan pecah amanah,” katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 28 Nov yang diperoleh media hari ini.

Beliau juga berkata mahkamah mendapati tiada satu pun keterangan Syed Saddiq menunjukkan wang kutipan majlis makan malam adalah untuk menggantikan perbelanjaan yang dibuat oleh tertuduh sebaliknya ia bagi menampung kempen pilihan rayanya.

“Kronologi dan tarikh-tarikh yang berkaitan menunjukkan bahawa pemindahan wang daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke akaun peribadi Maybank tertuduh berlaku sebelum pilihan raya manakala pemindahan wang ke akaun Amanah Saham Bumiputra (ASB) tertuduh pula berlaku sebulan selepas pilihan raya,” katanya.

Hakim itu berkata penyata bank yang dikemukakan tidak menunjukkan sebarang pengeluaran yang boleh dikatakan sebagai perbelanjaan bagi kempen pilihan raya.

“Justeru itu, dakwaan bahawa tertuduh telah membelanjakan wang beliau sendiri juga tidak disokong oleh mana-mana keterangan. Tanpa sebarang bukti untuk menyokong fakta ini, dakwaan bahawa wang terlibat adalah untuk menggantikan wang tertuduh sendiri juga adalah tidak berasas,” katanya.

Mengenai hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang dikenakan ke atas Syed Saddiq, 31, beliau berkata ia adalah munasabah dan berpatutan mengambil kira ini adalah kesalahan pertama tertuduh.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen dan idola anak muda, sewajarnya tertuduh is held to a higher standard dan menunjukkan satu contoh yang baik untuk terus menjadi ikutan anak-anak muda selain melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai orang yang telah dipilih oleh rakyat Muar dalam memperjuangkan hak-hak mereka.

“Selain itu, usia tertuduh yang masih muda menjadi pertimbangan mahkamah kerana beliau masih mempunyai banyak masa lagi untuk menyedari dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan serta mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku,” katanya.

Pada 9 Nov 2023, Azhar menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Armada.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan yang ditetapkan untuk sebutan pada 16 Jan depan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali (ketika itu) yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakannya di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 untuk diri sendiri daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan