EKONOMI

PUSAKA SASAR PENDAPATAN EKSPORT PERKAYUAN, BULUH RM8 BILION SETAHUN

29/11/2024 07:37 PM

KUCHING, 29 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menyasarkan pendapatan eksport daripada industri perkayuan dan buluh di Sarawak sebanyak RM8 bilion setahun menjelang 2030, kata Pengurus Besarnya Zainal Abidin Abdullah.

Beliau berkata untuk mencapai sasaran berkenaan, ia memberi fokus kepada lima perkara penting iaitu pertama; meningkatkan industri panel untuk menjana pendapatan eksport antara RM2.5 bilion hingga RM3 bilion.

"Fokus kedua adalah mempromosikan pembangunan industri kayu kejuruteraan untuk menambah nilai kepada kayu gergaji daripada RM700 juta kepada RM1 bilion dan ketiga; membangunkan industri perabot untuk menjana pendapatan eksport sebanyak RM4 bilion. 

"Keempat adalah merancakkan industri biojisim hijau untuk mencapai pendapatan eksport sebanyak RM0.5 bilion dan kelima; membangunkan industri berasaskan buluh untuk menjana pendapatan eksport antara RM200 juta hingga RM500 juta," katanya ketika berucap pada majlis minum petang PUSAKA bersama media di sini hari ini.

Zainal berkata PUSAKA turut melaksanakan Rancangan Pemulihan Perniagaan (2022 hingga 2030) untuk meningkatkan pendapatan, memulihkan aset dan hutang, menjimatkan kos, memperbaiki pulangan pelaburan dan meneroka pendapatan baharu.

"Inisiatif ini dijangka membantu PUSAKA untuk berdikari dan teguh dari segi kewangan selain memastikan pulangan pelaburan yang tinggi, rizab yang semakin meningkat, meneraju dan merintis pelaburan strategik menerusi sasaran kami untuk mencapai rizab terkumpul sebanyak RM730 juta menjelang 2030," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan