AM

KPN GERAKKAN JENTERA BANTU MANGSA BANJIR SELURUH NEGARA

30/11/2024 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menggerakkan jentera Komuniti Rukun Tetangga (KRT) bagi misi bantuan banjir di kawasan terjejas bencana itu, di seluruh negara.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata KPN bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), serta pihak berkaitan di lokasi terjejas banjir bagi memberi bantuan sewajarnya.

“Kita memang ada jentera untuk membantu hal banjir dan sebagainya, dan saya (juga) baru balik dari Gua Musang dan Kota Bharu (di Kelantan, yang turut dilanda banjir),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan International Interfaith Peace Conference (IIPC) di sini hari ini.

Keadaan banjir di sembilan negeri semakin memburuk pagi tadi, dengan lebih 120,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain Kelantan yang paling terkesan dengan bencana itu, banjir turut melanda Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Melaka, Perak dan Selangor.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, memaklumkan cuti semua menteri dan timbalan menteri dibekukan susulan bencana yang melanda negara ketika ini, dengan semua mereka diarahkan untuk turun ke kawasan bencana untuk membantu.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan