BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 AM

51 PERATUS WARGA KERJA MARA WANITA - RUBIAH 

30/11/2024 06:42 PM

KUCHING, 30 Nov (Bernama) -- Sebanyak 51 peratus daripada keseluruhan warga kerja Majlis Amanah Rakyat (MARA) terdiri daripada golongan wanita. 

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata jumlah itu menunjukkan MARA tidak ketinggalan dalam menyahut cabaran memperkasakan wanita sebagai penyumbang kepada pembangunan negara.

“Statistik perjawatan MARA setakat 10 Okt tahun ini menunjukkan 51 peratus warga kerjanya adalah wanita, ini bersamaan 5,812 orang daripada keseluruhan 11,349 warga kerja,” katanya semasa berucap di acara Biznet Fiesta Zon Borneo di sini hari ini.

Selain itu, Rubiah berkata kerajaan Persekutuan sebelum ini juga telah mengumumkan beberapa inisiatif melibatkan wanita sebagai agenda pemerkasaan golongan tersebut.

Beliau berkata peruntukan RM650 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi menyokong wanita dan belia dalam bidang keusahawanan dilihat sebagai langkah ke arah memupuk keterangkuman serta kepelbagaian dalam landskap perniagaan.

“Inisiatif ini mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap peranan wanita dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan.

“Penyediaan sokongan kewangan melalui institusi seperti MARA dan institusi kewangan lain bukan sahaja memudahkan akses kepada modal tetapi memperkasakan usahawan wanita untuk mengembangkan perniagaan dan berinovasi dalam bidang mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan